AM > BERITA

Pengedaran Minyak Masak Subsidi Mengikut Zon Diperluas - Fuziah

14/05/2025 06:08 PM

JOHOR BAHRU, 14 Mei (Bernama) -- Pengedaran minyak masak bersubsidi mengikut zon akan diperluas ke seluruh negara berdasarkan keberkesanannya dalam memastikan bekalan barangan terkawal itu mencukupi.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Dr Fuziah Salleh berkata syarikat pembungkusan diwajibkan menghantar bekalan secara berkala kepada Point of Sales (POS) merangkumi pasar raya dan peruncit menerusi zon yang ditetapkan sekali gus mengatasi masalah terputus bekalan terutama di kawasan terpencil.

Beliau berkata inisiatif berkenaan setakat ini telah dilaksanakan di beberapa negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

"Sebelum ini taburan (kawasan) syarikat pembungkusan mungkin tidak diselaraskan, jadi ia mungkin (menyebabkan) ada tempat yang tidak ada bekalan.

"Contohnya, di daerah Mersing sebelum ini kadangkala terputus bekalan, apabila terima aduan dan dikaji balik kita dapati Mersing mendapat bekalan dari Kuantan. Jadi, dengan pengezonan ini kita dapat pastikan ia dihantar terus ke POS," katanya pada sidang media selepas melawat sebuah syarikat pembungkus minyak masak subsidi di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan masih mengekalkan kuota minyak masak bersubsidi sebanyak 60,000 tan metrik setiap bulan dengan membabitkan 330 syarikat pembungkus di seluruh negara.

Justeru, Fuziah berkata pelaksanaan pengedaran mengikut zon akan turut dilaksanakan di Johor bermula esok.

"Pelaksanaan zon agihan minyak masak subsidi di Johor melibatkan 17 lokasi POS yang akan menerima bekalan secara berkala daripada 19 syarikat pembungkus dan pemborong sah," katanya.

Beliau berkata langkah itu bertujuan menjamin ketersediaan dan capaian berterusan minyak masak subsidi pada peringkat daerah, khususnya bagi kegunaan isi rumah berpendapatan rendah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan