KUANTAN, 16 Mei (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik.
Baginda berdua dalam hantaran menerusi Facebook hari ini menyifatkan guru sebagai obor ilmu yang menerangi jalan generasi pewaris bangsa.
“Segala jasa, pengorbanan dan iltizam yang dicurahkan oleh para guru dalam mendidik anak bangsa amatlah disanjung tinggi dan dihargai. Tanpa guru, tiadalah kejayaan dan kemajuan yang dapat dikecapi oleh negara,” menurut hantaran itu.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut mendoakan semua warga pendidik terus dikurniakan kesihatan, kekuatan dan keberkatan dalam meneruskan amanah mulia itu.
“Sesungguhnya, jasa seorang guru kekal abadi dalam lipatan sejarah bangsa. Guru Junjung Kasih, Bangsa Menjulang Budi,” titah baginda berdua.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam hantaran menerusi Facebook menyifatkan guru bukan hanya sekadar pengajar, malah mereka merupakan ejen transformasi yang melahirkan generasi berpengetahuan, berakhlak mulia serta berdaya saing.
“Dalam era digital kini, guru-guru telah membuktikan kesanggupan beradaptasi dengan teknologi, terus kreatif dalam pedagogi dan tetap teguh sebagai contoh kepada anak pelajar,” katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada semua guru di Malaysia khususnya di Pahang atas pengorbanan dalam mendidik anak bangsa untuk mencari jati diri dan menjadi insan berjaya.
“Semoga para guru sentiasa diberikan kesihatan yang baik dan dilimpih kurnia rahmat oleh Allah SWT. Selamat Hari Guru 2025,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial