ISKANDAR PUTERI, 16 Mei (Bernama) -- Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail hari ini menzahirkan rasa bangga apabila Johor muncul sebagai kuasa besar baharu dalam ekonomi negara.
Baginda bertitah kejayaan itu didorong dengan pelaksanaan beberapa inisiatif utama seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang berjaya menarik pelaburan berjumlah RM27 bilion bagi suku pertama tahun ini.
"Saya ingin menzahirkan rasa gembira melihat pencapaian ini dan rasa bangga apabila Johor kini dikatakan sebuah negeri yang muncul sebagai kuasa besar baharu dalam ekonomi Malaysia.
"Saya percaya dengan trend pertumbuhan ekonomi Johor ketika ini, rakyat akan dapat menikmati kehidupan yang lebih baik pada masa depan," titah baginda.
Tunku Ismail bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di sini hari ini.
Baginda bertitah pada tahun lepas, hasil negeri ini merekodkan nilai positif iaitu RM2.1 bilion dan prestasi itu diteruskan pada suku pertama tahun ini apabila Johor berjaya mencatatkan pertumbuhan hasil negeri sebanyak RM598 juta, iaitu 29.84 peratus lebih tinggi berbanding anggaran ditetapkan kerajaan negeri.
"Pada April 2025 pula menerusi sokongan dan kerjasama yang padu antara kerajaan negeri dengan semua pihak, terdapat projek-projek baharu bernilai RM23 bilion yang sedang dalam perancangan," titah baginda.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial