Oleh Nabilah Saleh
KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan semula komitmen Malaysia terhadap kesepaduan ASEAN dan penglibatan konstruktif dengan rakan serantau, termasuk Kemboja, di tengah cabaran geopolitik kompleks dan kebimbangan meningkat mengenai penindasan rentas sempadan.
Dalam temu bual dengan 101 East Al Jazeera, yang disiarkan pada Khamis di platform YouTube saluran itu, Anwar berkata ASEAN mesti kekal bersatu ketika mengharungi landskap global yang semakin tidak menentu, terutamanya berikutan tekanan yang meningkat daripada kuasa besar dan ketegangan perdagangan yang memuncak.
“Kami telah menunjukkan kesepaduan. Saya fikir kita perlu mengukuhkan ikatan itu bersama dalam persekitaran geopolitik yang berubah ini.
“Fokusnya adalah pada perdagangan dalaman, pelaburan, dan mengambil pendirian bersama berhubung kuasa besar dan jiran kami,” katanya dalam temu bual bersama wartawan kanan Mary Ann Jolley.
Anwar juga menyifatkan hubungan Malaysia dengan negara jiran sebagai “cemerlang”, menekankan bahawa banyak isu serantau lebih baik diselesaikan melalui penglibatan peribadi secara langsung.
Beliau mengulangi bahawa pemusatan ASEAN mesti kekal sebagai prinsip panduan teras ketika rantau ini berhadapan dinamika perdagangan global baharu, termasuk dasar tarif yang boleh menjejaskan negara anggota.
Sambil mengakui perubahan tarif, terutamanya daripada Amerika Syarikat, boleh memberi kesan negatif kepada Malaysia, beliau berkata, “Jika kita dapat menjamin perpaduan ASEAN, kita mungkin dapat mengurangkan sedikit kesannya.”
Malaysia menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
ASEAN terdiri daripada 10 negara anggota: Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Malaysia sebelum ini pernah mempengerusikan ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Menyentuh isu penipuan siber yang semakin berleluasa di Asia Tenggara, termasuk Kemboja, Anwar berkata ASEAN telah meningkatkan kerjasama untuk menangani jenayah rentas sempadan.
Beliau menafikan dakwaan bahawa kerajaan Kemboja terlibat secara langsung dalam industri penipuan itu, walaupun terdapat laporan daripada badan pemerhati antarabangsa.
“Kami kini mempunyai penglibatan yang lebih proaktif dalam ASEAN mengenai keselamatan siber dan jenayah rentas sempadan...Kami sedang berusaha ke arah mewujudkan peraturan bersama,” tambahnya.
Anwar turut menyatakan Malaysia terus mengekalkan kerjasama rapat dan berkesan dengan pihak berkuasa Kemboja, menggambarkannya sebagai “tiada tandingan”.
Beliau berjanji akan menyuarakan masalah baharu terus kepada Perdana Menteri Kemboja Hun Manet.
“Saya akan berbincang dengan rakan sejawat saya, Perdana Menteri (Hun Manet),” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial