AM > BERITA

Dzulkefly Ketuai Delegasi Malaysia Ke WHA78 Di Geneva

17/05/2025 05:53 PM

PUTRAJAYA, 17 Mei (Bernama) -- Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-78 (WHA78) yang akan berlangsung esok hingga 22 Mei ini di Geneva, Switzerland.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan persidangan kali ini bakal menyaksikan Malaysia membentangkan resolusi yang bersejarah bertajuk ‘Memperkasa dan Mengutamakan Pendekatan Bersepadu terhadap Kesihatan Paru-paru.’ 

“Resolusi ini merupakan seruan tindakan untuk memperkukuh usaha global dalam mencegah, mendiagnosis, merawat dan mengawal penyakit paru-paru,” menurut KKM.

Menurut kenyataan itu, Dzulkefly turut dijadualkan menyampaikan kenyataan Malaysia pada sidang plenari WHA78, yang akan menghuraikan tema WHA78 iaitu ‘Satu Dunia Demi Kesihatan’ serta langkah strategik yang telah dilaksanakan Malaysia dalam memperkukuhkan dan mereformasi sektor kesihatan negara.

“Sebagai Pengerusi ASEAN dalam sektor kesihatan, Dzulkefly juga akan menyampaikan kenyataan yang menyoroti pencapaian ASEAN dan komitmen serantau dalam bidang kesihatan,” menurut kenyataan itu.

Menurut KKM, Malaysia akan menganjurkan acara sampingan peringkat tertinggi di WHA78 pada Isnin ini, bertajuk ‘Memperkasakan Liputan Kesihatan Sejagat bagi Kesihatan Mulut Menjelang 2030’.

“Acara ini bakal menjadi antara platform penting bagi Dzulkefly untuk menyeru agar kesihatan mulut diarusperdanakan dalam agenda global Penyakit Tidak Berjangkit (NCD), termasuk dalam Mesyuarat Peringkat Tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan NCD yang akan datang,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Dzulkefly turut dijadual menghadiri beberapa acara sampingan dianjurkan oleh negara anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pihak berkepentingan serta mengadakan pertemuan dua hala bersama rakan sejawatan dari beberapa negara antaranya China, Mesir dan Iran bagi membincangkan pelbagai isu melibatkan kepentingan bersama.

Penyertaan Malaysia dalam WHA78 mencerminkan peranan negara yang proaktif serta komitmen berterusan terhadap agenda kesihatan global dan diplomasi kesihatan antarabangsa. 

“Ia juga selaras dengan nilai Malaysia MADANI khususnya kesejahteraan, kemampanan dan ihsan dalam memperjuangkan sistem kesihatan yang lebih adil, inklusif dan berperikemanusiaan di peringkat serantau dan global,” menurut KKM.

WHA merupakan acara tahunan yang dihadiri oleh menteri-menteri kesihatan dari negara anggota WHO.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan