AM > BERITA

Arkib Negara Disaran Dekati Komuniti, Elak Kehilangan Sejarah Penting - Aaron

17/05/2025 06:19 PM

KLANG, 17 Mei (Bernama) -- Arkib Negara Malaysia (ANM) disaran mendekati anggota komuniti termasuk tokoh, pertubuhan dan purbawan yang mempunyai koleksi bernilai tinggi bagi memastikan negara tidak kehilangan sumber sejarah penting.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata usaha berkenaan boleh dilakukan menerusi program seperti Arkib Komuniti sekali gus membantu melengkapkan naratif pensejarahan negara untuk memahami sesuatu peristiwa yang berlaku pada masa lampau.

"Banyak peristiwa di peringkat komuniti dari sebelum merdeka sehingga kini masih belum dapat dikumpul dan didokumentasikan. Cerita dan pengalaman mereka dapat menjadi sumber penting untuk memahami latar belakang sejarah.

"Sejarah negara kita bukan hanya tercatat dalam buku teks atau dokumen rasmi, tetapi juga hidup dalam pengalaman serta kisah-kisah komuniti kita dengan setiap kampung, bandar dan kawasan mempunyai cerita unik yang membentuk identiti negara," katanya ketika ditemui selepas melancarkan program Arkib Komuniti di Pekarangan Bangunan Galeri Warisan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di sini hari ini. 

Aaron turut mengalu-alukan orang ramai untuk menyumbang koleksi persendirian kepada ANM bagi melengkapkan koleksi bahan dan mengisi jurang maklumat sejarah sedia ada.

Beliau turut mencadangkan agar Arkib Komuniti ditubuhkan di setiap komuniti dan daerah dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara bertujuan mengekalkan penglibatan aktif komuniti dalam pengesanan, pengumpulan, pemerolehan dan pemeliharaan warisan sejarah negara.

"ANM juga boleh membangunkan laman khas Arkib Komuniti yang boleh berfungsi sebagai portal ke masa lalu dengan penyelidik, komuniti atau penyerah bahan dapat mengakses dan mendapatkan maklumat sejarah komuniti secara dalam talian.

"Mereka adalah saksi kepada peristiwa penting, penjaga tradisi dan penggerak perubahan. Tanpa penglibatan aktif komuniti, banyak aspek sejarah kita mungkin akan hilang ditelan zaman," katanya.

Antara pengisian menarik sepanjang program Arkib Komuniti di Klang itu ialah sesi penyerahan bahan dan dokumen, perkhidmatan penyalinan bahan, perkhidmatan pemuliharaan serta penjilidan koleksi, reruai pameran dan demonstrasi berkaitan seni, budaya serta sejarah warisan negara.

Turut hadir Ketua Pengarah ANM Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman, Pengerusi Lembaga Penasihat ANM Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Datuk Bandar MBDK Datuk Abd Hamid Hussain.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan