AM > BERITA

Program NADIpreneur Lahirkan 3,390 Usahawan Wanita - Fahmi

17/05/2025 06:04 PM

CYBERJAYA, 17 Mei (Bernama) -- Program NADIpreneur, inisiatif di bawah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), telah melahirkan seramai 3,390 atau 85 peratus usahawan wanita sehingga Mac lepas, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata golongan terbabit bukan sahaja berjaya dalam bidang keusahawanan malah menjadi contoh kepada wanita lain untuk menyertai program NADIpreneur.

“Usahawan-Usahawan ini sangat berjaya dan mereka memanfaatkan (perkhidmatan) Internet yang laju (di NADI) bukan hanya untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang tertentu tetapi juga mendapatkan pasaran bagi (produk) mereka.

“Di beberapa tempat, saya dapati mereka boleh menghasilkan produk yang boleh dijual hingga ke peringkat antarabangsa. Ini dapat meningkatkan ekonomi rumah tangga,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) 2025 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Fahmi turut memberikan beberapa contoh kejayaan usahawan wanita menerusi program NADIpreneur antaranya seorang usahawan dari Kuching, Sarawak yang menjana pendapatan sekitar RM25,000 sebulan hasil jualan produk kraf tangan berasaskan manik.

Bagi tempoh sama, beliau berkata program NADIpreneur telah melatih seramai 4,000 usahawan sekali gus membuktikan keberkesanan program itu kepada masyarakat.

Pada tahun ini, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi menyasarkan 7,000 penyertaan ke program NADIpreneur bagi melengkapkan lebih ramai usahawan dalam talian dengan kemahiran untuk mengembangkan perniagaan mereka menggunakan platform e-dagang.

“Kita harap kita dapat mencapai sasaran pada tahun ini. Menerusi NADI, ia menunjukkan bahawa jika anda menggunakan Internet dengan selamat dan anda tahu apa yang boleh dimanfaatkan, anda mampu meningkatkan penglibatan anda dalam ekonomi,” katanya.

Beliau berkata sehingga kini, sebanyak 1,099 NADI telah dibangunkan di seluruh negara bagi menyediakan capaian Internet dan memberi pendedahan teknologi kepada komuniti setempat selain meningkatkan taraf ekonomi serta sosial melalui kemudahan dan aktiviti di NADI.

Pada majlis sama, Fahmi turut melancarkan setem peringatan sempena ulang tahun ke-160 Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).

Beliau berkata setem berkenaan bukan sekadar menjadi koleksi tetapi juga simbol bermakna kepada legasi berterusan ITU dan Malaysia dalam bidang telekomunikasi global. 

“Ia mencerminkan evolusi teknologi komunikasi dan menghargai kerjasama antarabangsa yang telah memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang digital di seluruh dunia,” katanya.

Fahmi berkata Malaysia berbangga menjadi sebahagian daripada penghormatan global sekali gus menzahirkan komitmen negara terhadap misi ITU untuk keterhubungan sejagat dan pertumbuhan digital yang inklusif.

Malaysia menjadi ahli ITU sejak 1958.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan