AM > BERITA

Belia Perlu Diberi Pendedahan Isu Global, Perubahan Iklim

18/05/2025 07:29 PM

PADANG BESAR, 18 Mei (Bernama) -- Golongan belia perlu diberi pendedahan serta kesedaran awal berkaitan isu global seperti perubahan iklim bagi memastikan mereka menguasai pengetahuan lebih meluas dalam perkara itu, kata Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata pendekatan itu penting bagi membentuk budaya dan sikap dalam kalangan golongan belia supaya mereka tidak terhad kepada konteks tempatan sahaja.

“Perkara ini perlu dipupuk dari peringkat awal supaya budaya dan sikap yang terbentuk bukan hanya mengikut konteks tempatan tetapi turut mengambil nilai global,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Belia Negara 2025 Peringkat Negeri Perlis di sini hari ini.

Pada majlis itu, Akmal Nasrullah turut menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara 2025 peringkat negeri antaranya kategori individu lelaki dan wanita.

Akmal Nasrullah juga berkata beliau melihat Perlis mempunyai potensi besar dalam sektor pembangunan tenaga boleh baharu apabila negeri itu antara yang menerima kadar cahaya matahari tertinggi di Malaysia sekali gus menjadikan ia lokasi bersesuaian untuk inisiatif tenaga mampan.

“Perlis dilihat sebagai negeri yang simbolik dalam pembangunan tenaga boleh baharu berikutan potensinya menjana tenaga solar yang tinggi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan