AM > BERITA

AKPS Perkukuh Kesiapsiagaan Di Pintu Masuk Negara, Pastikan Kelancaran Sidang Kemuncak ASEAN

19/05/2025 11:00 AM

Oleh Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

PUTRAJAYA, 19 Mei (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) memperkukuh kesiapsiagaan di semua pintu masuk utama negara, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 hujung bulan ini, bagi memastikan urusan ketibaan delegasi berjalan lancar dan keselamatan negara terus terpelihara.

Pintu masuk negara yang akan menerima ketibaan tetmu negara dan delegasi luar sempena sidang kemuncak itu ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2, serta Kompleks Bunga Raya di Sepang.

Pemangku Ketua Pengarah AKPS Datuk Sazali Mohamad berkata AKPS, meletakkan komitmen yang tinggi untuk memastikan kelancaran setiap proses yang dilalui delegasi luar di semua pintu masuk negara, melalui beberapa pendekatan strategik.

Beliau berkata laluan protokol khusus akan disediakan dengan kerjasama Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), untuk mempercepat proses pemeriksaan delegasi tanpa perlu menunggu dalam barisan pada laluan biasa, terutamanya di pintu masuk utama seperti KLIA.

“AKPS turut memperkukuh kolaborasi bersama pihak yang mempunyai peranan khusus dalam Sidang Kemuncak ASEAN seperti Kementerian Luar, Polis Diraja Malaysia (PDRM), MAHB serta agensi teras AKPS iaitu Jabatan Imigresen dan Kementerian Kesihatan.

“Kolaborasi ini penting untuk membolehkan AKPS membuat semakan serta penilaian awal sebelum ketibaan delegasi di pintu masuk negara,” katanya kepada Bernama.

Sazali berkata peluasan penggunaan Autogate kepada pemegang pasport negara anggota ASEAN bagi pelepasan antarabangsa, turut membantu mempercepatkan proses keluar masuk delegasi.

“Selain itu, pemeriksaan turut diperkemaskan melalui penyediaan Kaunter Pemeriksaan individu kenamaan (VVIP), di Kompleks Bunga Raya dan VIP Lounge khusus bagi menyambut kehadiran tetamu kenamaan,” katanya.

Sazali berkata sepanjang tempoh sidang kemuncak kali ini, empat pasukan AKPS ditempatkan di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2, masing-masing melibatkan 150 pegawai bagi setiap syif.

“Laluan VVIP di Kompleks Bunga Raya pula, sebanyak 50 pegawai akan bertugas khusus untuk menyambut dan menguruskan kehadiran tetamu kenamaan,” katanya.

Sazali berkata bagi memastikan semua anggota bersedia dari segi taktikal dan operasi, AKPS juga menjalankan latihan dan simulasi keselamatan, selaras dengan garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Luar.

“Sepanjang tempoh penganjuran acara ini, AKPS dengan kerjasama Bahagian Keselamatan dan Pasport Jabatan Imigresen, PDRM serta Kementerian Luar, akan melaksanakan semakan awal terhadap maklumat delegasi dan pegawai yang dijadualkan hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN,” katanya.

Beliau berkata AKPS komited untuk memastikan keselesaan dan kelancaran ketibaan delegasi Sidang Kemuncak ASEAN, supaya imej negara dan agensi terlibat mendapat persepsi yang positif daripada delegasi luar.

“Sebagai sebuah agensi barisan hadapan, sudah pasti pengalaman pertama yang membentuk persepsi awal delegasi yang berkunjung ke negara ini, akan tercetus melalui perkhidmatan serta layanan yang diterima daripada AKPS,” katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 26 dan 27 Mei ini, dan turut diadakan serentak dengan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC (Majlis Kerjasama Teluk) kedua serta Sidang Kemuncak Ekonomi ASEAN-GCC-China pertama.

Mengangkat tema Keterangkuman dan Kemampanan, Malaysia sekali lagi menjadi Pengerusi ASEAN buat kali kelima, selepas tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan