AM > BERITA

Jabatan Audit Negara Kini Boleh Audit 1,856 Syarikat GLC

19/05/2025 09:45 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Pindaan Akta Audit 1957 (Akta 62) yang berkuat kuasa tahun lepas membolehkan Jabatan Audit Negara (JAN) menjalankan pengauditan ke atas 1,856 syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kata Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Beliau berkata pindaan itu memperluaskan skop pengauditan JAN sekali gus meningkatkan keupayaan kerajaan dalam memantau tadbir urus dan kewangan berkaitan GLC.

“(kuasa mengaudit GLC itu) selaras dengan pindaan Akta 62 pada hujung tahun lepas yang memperluaskan kuasa Ketua Audit Negara dalam pengauditan terhadap badan lain termasuk syarikat yang menerima jaminan kewangan serta pelaksanaan pendekatan baharu iaitu follow the public money audit.

“Ia menunjukkan peranan dan tanggungjawab strategik JAN dalam mengesan dan menilai risiko fraud perakaunan secara lebih berkesan dan bersasar,” katanya pada sidang media pada Majlis Peluncuran Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP) di sini hari ini.

Wan Suraya berkata susulan itu, kesemua jabatan GLC tidak akan terlepas daripada tindakan apabila Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) itu diterbitkan oleh pihaknya.

“Tindakan yang dibuat oleh Jawatankuasa Susulan Laporan Ketua Audit Negara (JSLKAN) mengesan beberapa ketirisan yang pada akhirnya akan dikutip semula sama ada dalam penyata kewangan negeri atau penyata kewangan kerajaan Persekutuan.

“Malah kita juga mengaudit badan berkanun dan 1,856 syarikat berkaitan kerajaan, dan apabila kita mengesan ketirisan berlaku sama ada yang tidak dikutip, tidak diterima atau sebagainya kita akan pastikan tindakan susulan dilakukan,” jelasnya.

Wan Suraya berkata dalam proses ini, pihaknya bukan sekadar mahu hasil itu dipulangkan semula tetapi mengesan sama ada berlakunya ketidakteraturan serius atau isu tadbir urus serta tatakelola.

Sementara itu, Wan Suraya berkata JAN juga sedang meneroka teknologi baharu bagi mengesan penipuan sejajar dengan trend yang semakin kompleks dan berkembang.

“Kita sedang menjalani proses pendigitalan dengan hampir semua audit kini dijalankan secara digital selain meneroka bagaimana kita boleh menggunakan teknologi baharu untuk mengesan penipuan terutamanya isu penipuan yang kompleks dan baharu.

“Ini sudah menjadi sebahagian daripada proses kerja JAN yang sedang berjalan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan