AM > BERITA

Agong Kurnia Surat Cara Pelantikan Kepada Tiga Hakim

20/05/2025 10:45 AM

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima menghadap dan mengurniakan surat cara pelantikan kepada tiga hakim di Istana Negara di sini.

Istiadat yang berlangsung di Singgahsana Kecil Istana Negara itu dimulakan dengan pengurniaan surat cara pelantikan kepada Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Lee Swee Seng.

Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada dua Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Dr Lim Hock Leng.

Antara yang turut hadir menyaksikan istiadat berkenaan ialah Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Turut hadir Peguam Negara Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Datuk Zamri Bakar serta Setiausaha Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Salinah Ismail.

Lee sebelum ini adalah Hakim Mahkamah Rayuan, manakala Hayatul Akmal dan Lim masing-masing Hakim Mahkamah Tinggi sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan.

Selesai pengurniaan surat cara pelantikan, Seri Paduka Baginda bergambar bersama hakim-hakim yang baru dilantik.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan