AM > BERITA

RIBAT Bukti Kehebatan Anak Tempatan Dalam Industri Pertahanan

20/05/2025 12:43 PM

Oleh Maizatul Jamny Muhammad Rosli

LANGKAWI, 20 Mei (Bernama) -- Di sebalik reka bentuknya yang padat dan lasak, kenderaan taktikal ringan mobiliti tinggi pertama negara (HMLTV), RIBAT menyimpan kisah luar biasa mengenai keazaman, keberanian dan keupayaan anak tempatan, yang sanggup mengambil risiko besar demi kemajuan industri bidang pertahanan negara.

Direka sepenuhnya oleh Mildef International Technologies Sdn Bhd (MILDEF), kereta perisai itu bukan sekadar simbol kekuatan fizikal, tetapi turut melambangkan kegigihan syarikat tempatan dalam mencipta aset pertahanan, yang selama ini dianggap hanya mampu dihasilkan oleh negara maju.

Dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama, Pengarah Urusan MILDEF Datuk Seri Mohd Nizam Kasa berkongsi bagaimana ilham mencipta RIBAT muncul, selepas kejayaan mengeluarkan model sebelumnya iaitu kenderaan perisai mobiliti tinggi (HMAV) Tarantula.

“RIBAT ialah sebuah kenderaan direka khas, setelah kita melihat ada keperluan berbuat demikian selepas syarikat mengeluarkan Tarantula. Kenderaan ini kompak dan sesuai dipergunakan pada semua misi… boleh beroperasi di sempadan (atau) pada mana-mana misi yang akan ditugaskan,” katanya.

Apa yang lebih menarik, Mohd Nizam berkata RIBAT yang membawa nilai simbolik tinggi serta merujuk kepada semangat berkawal mempertahankan tanah air yang berteraskan iman, patriotisme dan teknologi dinamakan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’25) yang membuka tirai hari ini, Anwar turut melancarkan RIBAT di Pavilion MILDEF, Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC), sekali gus menjadikan syarikat itu sebagai pengeluar pertama kenderaan perisai taktikal nasional.

Di sebalik kejayaan penghasilan RIBAT, tersimpan satu pencapaian yang lebih besar apabila ia direka bentuk sepenuhnya hasil kepakaran anak Malaysia bermula dari peringkat lakaran, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengeluaran hingga ke ujian akhir, segalanya dilakukan di dalam negara.

Mohd Nizam berkata kira-kira 60 hingga 70 peratus komponen kenderaan itu yang dilengkapi sistem perlindungan balistik modular dan direka untuk misi seperti rondaan, konvoi serta operasi khas, dibangunkan oleh jurutera tempatan, manakala komponen seperti enjin dan transmisi diimport sebelum dipasang dan diuji di negara ini.

“RIBAT ini direka bentuk 100 peratus tempatan, dari segi reka bentuk pertama, lakaran sampailah pembuatan dibuat secara dalaman… kita intergrasikan, tauliah dan uji semua kita buat di dalam negara iaitu di kilang kita di Sendayan, Negeri Sembilan,” katanya.

Menyingkap latar belakang pembinaan RIBAT, beliau berkongsi bahawa idea itu lahir daripada rasa tanggungjawab dan keperluan untuk berdikari, dari aspek pembangunan aset ketenteraan negara tanpa perlu bergantung kepada pihak luar, termasuk dalam hal penyelenggaraan.

Meskipun cabarannya besar, beliau berkata kenderaan itu mengambil masa selama dua tahun setengah untuk disiapkan secara menyeluruh, merangkumi reka bentuk, penilaian kelemahan, pembangunan prototaip sehinggalah kepada ujian mobiliti, integrasi senjata, sistem komunikasi dan perlindungan.

Mohd Nizam berkata pembangunan itu turut menghasilkan kerjasama strategik antara MILDEF dan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE), iaitu sebuah agensi penyelidikan utama di bawah Kementerian Pertahanan.

Perkara itu dilakukan menerusi pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) dengan memfokuskan kepada pembangunan dua lagi platform kenderaan taktikal, yang akan direka bentuk sepenuhnya dalam negara.

Beliau berkata namun apa yang lebih membanggakan ialah keupayaan RIBAT untuk bersaing secara langsung dengan produk antarabangsa, dengan MILDEF kini sedang menyasarkan pasaran Asia Selatan dan Timur Tengah yang menunjukkan permintaan tinggi terhadap teknologi pertahanan berkualiti.

“Sasaran kita ialah pasaran yang kita tumpu sekarang, kebanyakan di  Asia Selatan dan Timur Tengah,” katanya yang menambah syarikat itu terlibat aktif dalam pameran antarabangsa termasuk di Abu Dhabi, Perancis, Filipina dan Vietnam.

Selain membina keupayaan ketenteraan, beliau berkata inisiatif itu turut membuka jalan kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan modal insan tempatan, memandangkan RIBAT bukan hanya kenderaan perisai, tetapi juga platform untuk melatih belia dalam bidang teknikal menerusi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Ini, satu nilai tambah yang industri automotif dan industri pertahanan ini, selain kita dapat menjana ekonomi, kita juga mewujudkan peluang pekerjaan, kemahiran kepada anak-anak muda, anak-anak tempatan yang di bawah TVET,” katanya.

Dengan visi jangka panjang yang jelas, beliau berkata MILDEF kini merancang menghasilkan kenderaan berantai dan kenderaan operasi khas dalam tempoh dua tahun akan datang, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai antara negara yang memiliki teknologi pertahanan tersendiri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan