AM > BERITA

Ekosistem Baharu Pembelajaran TVET Perlu Dipercepat - Ahmad Zahid

20/05/2025 01:16 PM

LANGKAWI, 20 Mei (Bernama) -- Ekosistem baharu pembelajaran khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu dipercepat bagi mencapai sasaran kerajaan untuk melahirkan 60,000 jurutera berkemahiran tinggi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pengambilan pelajar lepasan sekolah untuk mengikuti program kejuruteraan juga perlu ditingkatkan dan diberi tumpuan. 

“Negara memerlukan 60,000 jurutera sekarang tapi kita hanya boleh mengeluarkan kira-kira 6,000 sahaja setahun. Jadi kita mesti mempercepat ekosistem baharu dalam pembelajaran untuk mengejar matlamat itu.

“Jadi kita tumpukan juga kepada lepasan pelajar di sekolah-sekolah berasrama penuh selain daripada Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) serta Maahad Tahfiz swasta untuk kita mengambil mereka bagi menyertai bidang kejuruteraan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pemeteraian lima Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) dengan lima pemain industri sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’25) di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata pengambilan lebih ramai lepasan Maahad Tahfiz akan dilakukan bagi mengikuti program kejuruteraan khususnya dalam bidang aeroangkasa di UniKL dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).

Beliau berkata setakat ini terdapat 1,962 pelajar di UniKL sedang mengikuti kursus aeroangkasa, dengan 129 daripadanya terdiri daripada huffaz lepasan Maahad Tahfiz Ulul Albab.

“Saya bersyukur kerana pelajar-pelajar huffaz ini bukan sahaja diterima baik oleh UniKL MIAT malah turut mendapat sambutan positif daripada pemain industri. Mereka mampu menguasai silibus yang diperkenalkan dengan baik, dan dari segi praktikal, mereka juga cepat menyesuaikan diri,” katanya.

Sementara itu, berhubung MoA membabitkan UniKL MIAT dengan lima pemain industri, Ahmad Zahid berkata kerjasama itu melibatkan syarikat Galaxy Aerospace, Aerostar Technologies, Global Turbine Asia, Malaysia Airports Holdings Berhad dan Pen Aviation.

Beliau berkata kerjasama strategik itu bukan sahaja memperkaya kurikulum dan latihan teknikal UniKL MIAT malah memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab utama industri aeroangkasa serantau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan