BANGI, 20 Mei (Bernama) -- Isu sosial seperti perkahwinan kanak-kanak, kehamilan remaja, keganasan rumah tangga, dan konflik antara generasi tidak dapat diselesaikan tanpa penglibatan aktif masyarakat dan pembentukan pendidikan karakter.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata terdapat keperluan mendesak untuk merombak pendekatan pendidikan supaya lebih menyeluruh, merangkumi aspek nilai, akhlak, dan pembentukan peribadi pelajar selain memberi penekanan terhadap peranan ibu bapa dan komuniti dalam mendidik anak-anak.
Beliau turut menggariskan kebimbangan terhadap beberapa statistik sosial yang tidak menunjukkan perubahan positif, terutamanya berkaitan kadar perceraian yang kekal tinggi, kes wanita maut akibat keganasan rumah tangga, dan isu ketidakharmonian dalam keluarga melibatkan warga emas serta kanak-kanak.
“Rumah tidak lagi selamat untuk wanita apabila ini berlaku dalam rumah dan wanita mati di tangan pasangan masing-masing,” katanya ketika berucap pada program Pesona Inspirasi Keluarga MADANI di sini hari ini.
Sementara itu, beliau turut menekankan kepentingan modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) dalam menangani isu melibatkan remaja dan kanak-kanak.
“Saya tidak fikir ia masih lagi jadi taboo (pantang larang) dalam masyarakat tatkala krisis sosial berlaku dalam masyarakat," katanya.
Kementerian Pendidikan (KPM) akan menggunakan modul PEERS bermula tahun persekolahan 2027.
PEERS bakal diajar melalui kurikulum Pendidikan Kesihatan bermula peringkat prasekolah hingga sekolah menengah dan murid akan dilengkapi dengan maklumat serta kemahiran, khususnya kecekapan psikososial untuk membuat informed decisions dalam kehidupan harian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial