KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Malaysia terus memperkukuh komitmen dalam menangani penyakit paru-paru menerusi pendekatan inovatif termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkongsi perkara itu ketika menyertai sesi meja bulat bertajuk Beyond the Resolution: A Global Perspective on Opportunities and Challenges for Lung Health, anjuran Devex dan AstraZeneca pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-78 (WHA78) di Geneva hari ini.
Sesi itu turut disertai Dr Andre Ilbawi dari Program Kawalan Kanser Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Presiden Kesatuan Kawalan Kanser Antarabangsa (UICC) Ulrika Årehed Kagstrom.
Dzulkefly berkata antara strategi utama yang diketengahkan termasuk pelaksanaan saringan sinar-X berasaskan AI di tujuh fasiliti penjagaan primer seluruh negara bagi mengesan penyakit paru-paru di peringkat terawal.
Selain itu, beliau berkata negara juga sudah melancarkan Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Malaysia 2025-2030 baru-baru ini yang merangkumi elemen pencegahan, rawatan dan pemulihan.
“Teknologi AI ini mula menunjukkan impak. Pada tahun lepas, seorang pesakit lelaki berusia 67 tahun dikesan menghidap kanser paru-paru tahap awal hasil saringan AI, walaupun tanpa sebarang gejala.
“Rawatan pembedahan berjaya dilakukan dalam tempoh dua minggu, mencerminkan kecekapan dan kejituan teknologi seperti ini, jika dimanfaatkan dengan baik,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.
Dzulkefly juga memaklumkan, Resolusi Kesihatan Paru-Paru yang disediakan oleh Malaysia dan ditaja oleh 14 negara akan dibentangkan di WHA78 pada 21 Mei ini.
“Resolusi itu satu langkah mustahak ke arah komitmen di peringkat global, meningkatkan pelaburan dan akses rawatan. Malaysia kekal komited untuk menerajui perubahan ini demi kesihatan paru-paru yang lebih baik untuk semua,” katanya.
Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-78 yang berlangsung di Palais des Nations, Geneva, dari 19 hingga 27 Mei ini menghimpunkan pemimpin kesihatan global untuk merangka dasar dan kerjasama kesihatan di peringkat antarabangsa pada masa akan datang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial