AM > BERITA

Serangan Gajah: Kenderaan Kecil Dinasihat Elak Guna JRTB Waktu Malam, Jangan Bunyi Hon

21/05/2025 02:49 PM

IPOH, 21 Mei (Bernama) -- Kenderaan kecil termasuk penunggang motosikal dinasihatkan mengelak daripada menggunakan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) pada waktu malam bagi meminimumkan kemungkinan berlaku serangan haiwan liar terutama gajah di sepanjang laluan itu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak Yusoff Shariff berkata ini kerana kawanan gajah di lokasi berkenaan akan sentiasa bergerak dan mencari makanan pada waktu tersebut.

“Kebanyakan serangan gajah dilaporkan berlaku pada lewat senja hingga awal pagi kerana tempoh tersebut adalah rutin kawanan gajah merayau mencari makan. Jadi, apabila ada pengguna yang melalui JRTB pada waktu ini, adakalanya pertembungan tak boleh dielakkan.

“Ini antara punca serangan berlaku. Kalau boleh guna laluan berkenaan pada waktu siang, iaitu ketika  banyak haiwan berehat,” katanya dihubungi Bernama di sini hari ini.

Terdahulu, seorang lelaki berdepan detik cemas apabila keretanya diserang sekumpulan gajah ketika memandu di Kilometer 11, JRTB Gerik-Jeli, dalam kejadian pada 8.15 malam tadi.

Kejadian dikatakan berpunca daripada kenderaan di belakang membunyikan hon menyebabkan tiga ekor gajah tersebut bertindak agresif. 

Sementara itu, Yusoff berkata pihaknya turut meminta pengguna JRTB supaya tidak melakukan provokasi selain mematuhi tanda arahan yang dipasang sepanjang menggunakan laluan tersebut.

“Pihak kami juga minta supaya jangan bunyikan hon, jangan guna lampu tinggi, jangan keluar ambil gambar atau cuba bagi makan. Tindakan ini amat berisiko dan boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya.

“Sentiasa berwaspada dan patuhi setiap arahan papan tanda yang telah dipasang sepanjang laluan. Ini kerana JRTB merupakan laluan aktif bagi kebanyakan haiwan liar dan kebanyakannya dalam kategori pemangsa dan mampu mengancam nyawa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan