AM > BERITA

MAHB Bersiap Rapi Sambut Delegasi Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46

21/05/2025 05:25 PM

 

Oleh Amanina Mohamad Yusof dan Muhammad Adil Muzaffar Mohd Fisol

SEPANG, 21 Mei (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kini giat memperkemas pelbagai persiapan bagi menyambut ketibaan delegasi ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani berkata antara persiapan utama termasuk penambahbaikan kemudahan dan protokol di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2, selain beberapa lapangan terbang lain di seluruh negara yang turut terlibat menyambut tetamu kehormat dari negara-negara ASEAN.

“Antara inisiatif penting termasuk menaik taraf Bilik VIP dan Kompleks Bunga Raya di KLIA; menyediakan laluan imigresen khas dan kaunter sambutan eksklusif; serta mengatur ketibaan delegasi yang menggunakan penerbangan komersial dengan lebih tersusun.

“Paparan bahan promosi ASEAN 2025 juga telah mula ditayangkan melalui sistem paparan maklumat penerbangan (FIDS), KLIATV dan saluran media sosial rasmi,” katanya kepada Bernama.

Sebagai sebahagian usaha mempromosikan Malaysia di peringkat antarabangsa, MAHB turut mempergiat inisiatif berunsur seni, budaya dan warisan di lapangan terbang kendaliannya.

Inisiatif itu termasuk pewujudan ‘Heritage Lane’ yang memaparkan foto struktur bangunan warisan di negara ini, premis perniagaan lama seperti gerai nasi kandar dan kedai gunting rambut, pameran pakaian tradisional Baba dan Nyonya serta persembahan kebudayaan termasuk tarian tradisional di beberapa terminal lapangan terbang.

Khusus untuk menyambut delegasi ASEAN, beliau berkata Kompleks Bunga Raya dan ruang menunggu VIP di beberapa lapangan terbang turut dihias semula dengan elemen mencerminkan identiti, budaya dan tradisi Malaysia.

“Sebagai pengendali lapangan terbang yang bertanggungjawab menjaga pintu masuk utama negara, MAHB sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengetengahkan seni, kebudayaan dan warisan Malaysia di lapangan terbang kami, bukan sahaja sebagai persiapan menyambut delegasi ASEAN, tetapi juga sebagai persediaan bagi Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Mohd Izani berkata MAHB komited memastikan segala urusan sambutan dan pergerakan delegasi ASEAN berjalan lancar dan berprestij, sekali gus memperkukuh imej Malaysia di mata dunia.

Beliau berkata aspek keselamatan turut diberi keutamaan menerusi kerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan kelancaran dan keselamatan pergerakan delegasi sepanjang acara berlangsung.

Menurutnya, pihak MAHB juga menjalinkan kerjasama erat dengan Kementerian Luar Negeri, Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa (BIUPA) serta agensi-agensi kerajaan lain sejak tahun lepas bagi memastikan lapangan terbang negara bersedia menyambut ketibaan delegasi dari pelbagai negara.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati laluan dari KLIA ke pusat bandar raya Kuala Lumpur kini meriah dengan pelbagai hiasan termasuk gegantung dan papan iklan bertemakan ASEAN bagi menyambut ketibaan para pemimpin serta delegasi ASEAN 2025.

Hiasan yang dipasang sepanjang Lebuhraya KLIA, Lebuhraya MEX, Lebuhraya Sungai Besi serta kawasan sekitar kompleks pentadbiran kerajaan di Putrajaya bukan sahaja menambahkan seri suasana, malah memberikan gambaran awal sambutan mesra Malaysia selaku tuan rumah.

Gegantung yang memaparkan logo rasmi ASEAN digantung di sepanjang tiang lampu dan pembahagi jalan utama lebuh raya, memberi sentuhan simbolik kepada laluan yang bakal dilalui tetamu kenamaan.

Turut mencuri tumpuan ialah papan iklan digital di Lebuhraya KLIA yang memaparkan ucapan “Selamat Datang” bersama logo ASEAN, untuk disaksikan delegasi sebaik sahaja meninggalkan lapangan terbang menuju ke KLCC.

Sidang Kemuncak ASEAN  akan bermula dengan mesyuarat peringkat pegawai-pegawai kanan pada 23 Mei, diikuti mesyuarat peringkat menteri pada 25 Mei, manakala mesyuarat ketua-ketua kerajaan akan bermula pada 26 Mei.

Tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan' diangkat sebagai asas penyatuan untuk penglibatan serantau dan global. Komitmen Malaysia adalah untuk memperkukuh pemusatan ASEAN, memupuk kerjasama ekonomi serta memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan