AM > BERITA

Negeri Sembilan Rekod Kutipan Hasil RM250.66 Juta Setakat Ini - Aminuddin

22/05/2025 01:38 PM

SEREMBAN, 22 Mei (Bernama) -- Negeri Sembilan merekodkan kutipan hasil negeri sebanyak RM250.66 juta bagi tempoh Januari hingga semalam, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata jumlah itu ialah 42.48 peratus daripada sasaran RM590 juta tahun ini dan lebih tinggi yang dicatatkan berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

“Negeri Sembilan juga mencatatkan nilai pelaburan berjumlah RM7.25 bilion pada tahun lepas, selain mewujudkan lebih 4,600 peluang pekerjaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan 2024 yang disampaikan kepada 519 penerima di sini hari ini.

Dalam majlis itu, beliau turut melancarkan logo rasmi Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 (TMNS2026) yang menggabungkan tiga segmen tumpuan pelancongan, iaitu pelancongan pantai, ekopelancongan, dan keindahan warisan Adat Perpatih.

Aminuddin berkata logo TMNS2026 itu membawa pelancong meneroka keindahan di negeri ini, termasuk pantai peranginan Port Dickson, kehijauan rimba yang menyajikan produk ekopelancongan di Ekor Banjaran Titiwangsa dan ikon seni bina Bumbung Panjang menonjolkan keunikan Adat Perpatih.

“Pemilihan produk tumpuan pelancong ini juga selari dengan logo Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang bertemakan keindahan budaya, kecantikan alam semula jadi dan daya tarikan global Malaysia kepada pelancong antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata pelbagai inisiatif strategik perlu digerakkan sekali gus merealisasikan sasaran 20 juta pelancong pada tahun ini, termasuk mempergiat promosi antarabangsa melalui pameran pelancongan, misi jualan ke luar negara dan kerjasama dengan ejen pelancongan dalam dan luar negara.

Aminuddin berkata semua penjawat awam di negeri ini juga perlu terus menjadi duta TMNS2026 selain sentiasa menambah baik dan mereformasi kaedah pelaksanaan tugas bagi meningkatkan lagi tahap penyampaian perkhidmatan jabatan kepada masyarakat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan