AM > BERITA

Pembinaan SK Putrajaya Presint 8 (3) Hampir Siap, Mula Operasi Sesi Persekolahan Akan Datang

30/09/2025 02:44 PM

PUTRAJAYA, 30 Sept (Bernama) -- Projek pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 8 (3) berjalan lancar dan hampir siap sepenuhnya, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata penantian penduduk di kawasan itu berakhir tidak lama lagi memandangkan sekolah tersebut akan memulakan operasi pada sesi persekolahan akan datang.

“Manfaat sekolah baharu ini sangat besar kepada warga Putrajaya, khususnya di Presint 8 dan kawasan sekitar yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

“Ia dapat meningkatkan akses pendidikan demi manfaat seluruh masyarakat di sini,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Fadhlina juga merakamkan penghargaan kepada semua pasukan di lapangan yang bertungkus lumus menyiapkan projek itu demi manfaat pendidikan.

Beliau juga mahu semua projek pembangunan pendidikan di seluruh negara diberi perhatian rapi dari aspek pemantauan pelaksanaan kerana projek tersebut melibatkan kepentingan rakyat.

Pada hantaran itu, Fadhlina meninjau perkembangan pembinaan SK Putrajaya Presint 8(3) bersama-sama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Aminuddin Hassim dan Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan