SEPANG, 30 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan membentangkan kerangka perdamaian terbaharu yang dikemukakan Amerika Syarikat berhubung Gaza kepada Jemaah Menteri untuk dibincangkan.
Beliau berkata kebanyakan negara jiran Arab telah menyatakan persetujuan bahawa keutamaan ialah menghentikan keganasan, menjamin kemerdekaan Palestin termasuk Gaza dan mempercepat bantuan kemanusiaan.
"Saya tidak fikir kerangka persetujuan itu akan memenuhi hasrat kita (Malaysia), terutama dalam mempertahankan prinsip keadilan bagi rakyat Palestin.
"Tetapi, sebagai suatu permulaan, ia sangat bermakna, iaitu hentikan keganasan dan penjajahan terhadap bumi Palestin dan bantuan kemanusiaan yang sangat mendesak mesti disegerakan," kata beliau.
Anwar berkata demikian pada sidang media selepas melawat Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) di Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Central Warehouse, di sini hari ini.
Dilaporkan hari ini, Palestin mengalu-alukan usaha Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk menamatkan perang yang sedang berlaku di Gaza, sambil menegaskan komitmen untuk bekerjasama dengan Washington dan pihak berkaitan bagi mencapai keamanan.
Semalam, Trump mengumumkan pelan 20 perkara bagi menamatkan perang Israel terhadap Semenanjung Gaza semasa sidang media bersama dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.
Pelan itu merangkumi pembebasan tawanan Israel dengan pertukaran sejumlah tahanan Palestin, pelucutan senjata sepenuhnya Hamas, serta pembentukan jawatankuasa teknokrat Palestin dan tidak berunsur politik untuk mentadbir Gaza.
Anwar berkata misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang disertai rakyat Malaysia bersama-sama masyarakat antarabangsa membawa mesej kemanusiaan yang jelas dan bermakna.
“Konflik, kezaliman, pembantaian, pembunuhan, penindasan dan pemusnahan yang berlaku di Gaza pada masa ini telah mencelikkan dunia akan erti keadilan kemanusiaan,” kata beliau.
Perdana Menteri juga menolak andaian bahawa generasi muda tidak mengikuti perkembangan di Gaza, sebaliknya menyifatkan penyertaan anak muda dalam himpunan sebelum ini membuktikan mereka peka serta prihatin dengan isu Palestin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial