KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengecam tindakan Israel memintas kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF) serta menzahirkan solidariti terhadap rakyat Malaysia dan aktivis yang menyertai misi kemanusiaan itu.
Beliau berkata penahanan mereka amat membimbangkan dan menegaskan komitmen para aktivis dalam memperjuangkan nasib golongan tertindas seharusnya dihormati, bukannya dianggap sebagai jenayah.
Johari berkata tindakan sedemikian oleh Israel bukan sahaja mencabuli undang-undang antarabangsa, tetapi juga suatu penghinaan moral terhadap nurani kemanusiaan sejagat.
“Kita mendoakan keselamatan mereka (aktivis), agar dibebaskan segera dan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan kepada rakyat Gaza yang amat memerlukannya,” katanya dalam hantaran melalui Instagram hari ini.
Beliau berkata Parlimen Malaysia mengulangi komitmen memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin dan akan terus mendesak akauntabiliti, keadilan serta perlindungan terhadap nyawa orang yang tidak berdosa.
Setakat 7.50 pagi waktu Malaysia, sebanyak 17 rakyat Malaysia dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) selepas kapal mereka dipintas.
Mereka termasuk penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah, yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial