AM > BERITA

AeU Lantik Enam Duta APEL.Q, Lancar Sistem APEL.Q 2.0 Perkukuh Pembelajaran Sepanjang Hayat

05/10/2025 11:09 AM

SUBANG JAYA, 4 Okt (Bernama) -- Asia e University (AeU) melantik enam duta Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL.Q) yang terkemuka dan melancarkan sistem APEL.Q 2.0 untuk memperkukuh kepimpinan Malaysia dalam pembelajaran sepanjang hayat dan pengiktirafan pengalaman. 

Mereka ialah Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, ketua kejuruteraan di syarikat penyelenggaran, pembaikan dan baik pulih (MRO) jet korporat Dr Ir Liew Chee Leong dan pengasas bersama Eskayvie Sdn Bhd Dr Kartika Wati Mohamed. 

Turut dilantik ialah Ketua Pegawai Operasi RickWorks Academy Sdn Bhd Dr Mohd Radziman Mohd Noor, Pengurus Besar Tourism Melaka Nasrul Ahmad dan arkitek digital Syaiful Bakhtiar Samsudin. 

Naib Canselor AeU Prof Dr Noor Raihan Ab Hamid berkata APEL.Q bukan sekadar laluan akademik, sebaliknya pengiktirafan kepada sumbangan berterusan golongan profesional kepada industri, komuniti dan negara.   

“Dengan pelantikan enam duta baharu dan pelancaran sistem APEL.Q 2.0 serta peluasan program termasuk program rintis Ijazah Sarjana Muda Seni dalam Reka Bentuk Grafik, AeU terus memperjuangkan pembelajaran sepanjang hayat dan inovasi, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai rujukan global dalam pengiktirafan berasaskan pengalaman,” katanya semasa merasmikan majlis itu.

Menurut AeU, sistem APEL.Q 2.0 ialah platform digital dinaik taraf bagi meningkatkan ketelusan dan memudahkan proses dilalui calon. 

Sementara itu, Syed Hussain berkata kepentingan pembelajaran sepanjang hayat menjadi motivasi untuk beliau meningkatkan kelayakan menerusi laluan APEL.Q. 

“Teknologi dan cara kita bekerja berubah. Untuk kekal relevan kita mesti terus meningkatkan pendidikan. APEL.Q menawarkan fleksibiliti dan mengiktiraf pengalaman profesional menjadikan kelayakan diperoleh lebih bermakna berbanding laluan akademik semata-mata,” katanya. 

AeU juga memperoleh kelulusan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk menawarkan lapan program menerusi APEL.Q, meletakkan universiti itu antara institusi dengan jumlah tawaran tertinggi seumpamanya di Malaysia. 

Noor Raihan berkata program Doktor Falsafah Pentadbiran Perniagaan (DBA) APEL.Q unik kerana memberi peluang kepada profesional berpengalaman untuk menukar amalan, kepimpinan dan inovasi selama berpuluh tahun kepada penyelidikan akademik yang diiktiraf secara rasmi.

“Ini membolehkan mereka mendokumentasikan legasi, menukar pengalaman profesional kepada kelayakan akademik dan meninggalkan khazanah ilmu yang akan menjadi inspirasi serta rujukan generasi akan datang,” katanya. 

Setakat ini, AeU telah melahirkan empat kohort ijazah kedoktoran APEL.Q yang menjadi penanda aras kepada kaedah, standard dan amalan pelaksanaannya, disokong oleh penilai yang memastikan kualiti serta kredibiliti program.

Majlis itu juga mengiktiraf sumbangan penilai yang melindungi integriti proses APEL.Q menerusi kepakaran mereka, sekali gus mengukuhkan peranan AeU sebagai perintis pembelajaran sepanjang hayat dan inovasi di Malaysia. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan