IPOH, 8 Okt (Bernama) -- Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah dengan kerjasama Institut Agro dan Keusahawanan (IGROW) akan menganjurkan Festival Durian Antarabangsa Kampung Gajah 2025 (KGIDF2025) bermula 15 Okt hingga 30 Nov ini di Kompleks Desa Warisan IGROW dan beberapa lokasi terpilih sekitar Kampung Gajah, Perak Tengah.
Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah Nordin Abdul Malek yang juga Pengerusi Eksekutif IGROW Nordin Abdul Malek berkata festival itu merupakan program berimpak tinggi yang menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk komuniti, usahawan, institusi pendidikan serta media serantau bagi mengangkat durian Kampung Gajah sebagai produk agrotani bertaraf global.
“Festival ini bukan sekadar pesta buah, tetapi platform strategik untuk memperkukuh potensi ekonomi setempat menerusi sektor agropelancongan, warisan dan keusahawanan tani moden.
"Antara acara utama KGIDF2025 ialah majlis perasmian yang dijangka disempurnakan oleh Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, festival berkenaan turut akan menerima kunjungan khas Gabenor Wilayah Pattani dan delegasi Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan Thailand (SPBAC).
"Festival selama lebih sebulan ini akan menampilkan pelbagai aktiviti interaktif dan berunsur pendidikan yang melibatkan pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, serta pelajar antarabangsa.
“Penyertaan golongan muda ini penting untuk memupuk minat terhadap bidang pertanian moden dan inovasi dalam industri durian, di samping memperkenalkan potensi Kampung Gajah sebagai destinasi agropelancongan utama di rantau ini,” katanya.
Katanya Festival Durian Antarabangsa Kampung Gajah 2025 dijangka menjadi acara tahunan yang mampu menarik pelancong domestik dan antarabangsa serta memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat di Perak Tengah.
"Selain itu juga acara turut akan diserikan dengan pelancaran buku “Randau Demi Negara” oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial