AM > BERITA

Nadi Felda Lenggiu, Felda Gunung Besout 1 Johan Pertandingan Tiny Techies 2025

08/10/2025 06:59 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Pasukan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Felda Linggiu, Johor muncul johan Pertandingan Tiny Techies 2025 peringkat kebangsaan kategori sekolah menengah, manakala NADI Felda Gunung Besout 1, Perak menjuarai kategori sekolah rendah.

Kedua-dua pasukan yang masing-masing diwakili dua murid dan pelajar, membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 dan akan mewakili negara ke pertandingan robotik global di Bangkok, Thailand pada hujung Oktober ini.

Pengarah program Tiny Techies Areehan Abdullah berkata inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu aspirasi besar dalam meningkatkan penguasaan dan kemahiran teknologi, memupuk kreativiti serta meningkatkan keyakinan untuk bersaing pada peringkat lebih tinggi dalam kalangan pelajar.

"Pelajar-pelajar bertanding pada peringkat NADI, peringkat negeri, mereka juga bertanding peringkat wilayah dan sekarang peringkat kebangsaan. Insya-Allah kita akan bawa juara bertanding pada peringkat antarabangsa," katanya dalam ucapan Majlis Penutupan Pertandingan Tiny Techies 2025 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

  Turut hadir Ahli Suruhanjaya MCMC Jeneral (B) Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Pejabat NADI Dr Mohd Arif Adenan.

Pertandingan yang juga aktiviti Perkhidmatan Pintar NADI di bawah Teras Pembelajaran Sepanjang Hayat itu disertai sebanyak 50 murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah dari seluruh negeri.

Naib johan kategori sekolah menengah dimenangi pasukan NADI Kampung Pianggu, Pahang yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, manakala tempat ketiga diraih pasukan NADI Kampung Telaga Daing, Terenggganu yang menerima hadiah wang tunai RM1,000.

Bagi kategori sekolah rendah, pasukan NADI Kampung Paya Jakas, Segamat, Johor memenangi naib johan, manakala NADI Padang Tembak, Kelantan meraih tempat ketiga yang menerima hadiah sama.

Pasukan tempat keempat menerima hadiah wang tunai RM300 dan tempat kelima pula RM200 selain lima pasukan NADI turut menerima anugerah khas dan menerima hadiah wang tunai RM300.

  -- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan