AM > BERITA

AIA Malaysia Jalin Kerjasama Dengan Big Caring Group Perluas Akses Kesihatan Digital

08/10/2025 07:01 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- AIA Malaysia hari ini mengumumkan kerjasama strategik dengan Big Caring Group, satu daripada rangkaian farmasi terkemuka negara ke dalam rangkaian rakan penyedia penjagaan kesihatan yang semakin berkembang.

AIA Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan Big Caring Group menggabungkan rangkaian farmasi komuniti yang dipercayai termasuk BIG Pharmacy, Caring Pharmacy, Georgetown Pharmacy, Ting Pharmacy dan Wellings Pharmacy.

Menurut kenyataan itu, kerjasama berkenaan memperkenalkan pakej lengkap perkhidmatan kesihatan digital secara eksklusif melalui aplikasi mudah alih AIA+ bagi meningkatkan kebolehcapaian dan kemudahan perkhidmatan penjagaan kesihatan untuk para pelanggan.

“Menerusi kerjasama ini, AIA menawarkan pelanggan cara yang mudah untuk mengurus keperluan kesihatan mereka pada bila-bila masa dan di mana sahaja melalui aplikasi mudah alih AIA+,” katanya.

Pelanggan boleh berhubung dengan doktor bertauliah dan diperakui untuk telekonsultasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, menerima preskripsi digital serta merta dan rujukan pakar serta mengatur penghantaran ubat secara percuma ke seluruh negara termasuk penghantaran pada hari yang sama di Semenanjung, dalam tempoh tiga hari bekerja ke Sabah dan Sarawak atau pilihan untuk mengambil sendiri di cawangan farmasi terpilih Big Caring Group di seluruh negara.

Ketua Pegawai Penyelesaian Korporat dan Penjagaan Kesihatan AIA Malaysia Tung Hsiao Ley berkata kerjasama itu meletakkan penjagaan kesihatan berkualiti terus di tangan pelanggan.

“Dengan membawa Big Caring Group ke dalam kumpulan rakan penyedia yang dipercayai dan menggabungkan komitmen AIA terhadap penjagaan kesihatan yang boleh diakses, berpatutan dan berkesan dengan rangkaian kukuh kumpulan itu di seluruh negara, kami berusaha menangani kekangan dan halangan kepada rawatan tepat pada masanya dan memperkasakan rakyat Malaysia untuk mengutamakan kesihatan mereka.

“Ini adalah satu langkah ke hadapan yang bermakna dalam misi kami untuk membantu orang ramai menjalani kehidupan yang lebih sihat, berpanjangan dan bermakna,” katanya dalam kenyataan sama.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Big Caring Group Lee Meng Chuan berkata kerjasama itu membawa perkhidmatan kesihatan digital lebih dekat kepada rakyat Malaysia melalui rangkaian luas kumpulan berkenaan di seluruh negara, yang membolehkan mereka menyampaikan penjagaan kesihatan tepat pada masanya serta perkhidmatan yang dipercayai kepada komuniti.

“Dengan mengintegrasikan perkhidmatan farmasi kami ke dalam aplikasi mudah alih AIA+, kami menjadikan penjagaan kesihatan lebih mudah diakses dengan membolehkan pelanggan menerima ubat-ubatan tepat pada masanya, rundingan pakar serta penjagaan yang dipercayai terus melalui telefon mereka, sama ada mereka berada di bandar atau pekan kecil,” katanya.

AIA Malaysia memaklumkan perkhidmatan kesihatan digital itu tersedia untuk semua pelanggan dan boleh diakses dengan selamat serta mudah melalui aplikasi mudah alih AIA+.

“Bagi meraikan pelancaran kerjasama ini, tawaran eksklusif kini boleh didapati di lebih 600 cawangan farmasi Big Caring Group, istimewa kepada pengguna aplikasi mudah alih AIA+ yang boleh menikmati pelbagai diskaun serta promosi khas,” menurut kenyataan itu.

Untuk maklumat lanjut mengenai cawangan farmasi Big Caring Group yang mengambil bahagian, pengguna boleh log masuk ke aplikasi mudah alih AIA+ atau melayari laman sesawang www.aia.com.my.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan