AM > BERITA

Sultan Selangor Zahir Syukur 23 Aktivis GSF Selamat Pulang Ke Tanah Air

08/10/2025 07:47 PM

SHAH ALAM, 8 Okt (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa syukur atas kepulangan 23 aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke tanah air.

Baginda amat menghargai dan kagum dengan usaha serta kesungguhan ditunjukkan oleh aktivis Malaysia yang terlibat, serta kesemua misi sukarela dikendalikan GSF demi membantu rakyat Palestin yang masih ditindas rejim Zionis.

Menurut hantaran di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin mengikuti rapat perkembangan gerakan GSF dan prihatin dengan nasib menimpa aktivis berkenaan apabila ditahan oleh rejim Zionis Israel di perairan antarabangsa semasa menuju ke Gaza.

“Baginda turut berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjaya menguruskan pembebasan kesemua aktivis dari Malaysia dengan segera, hasil kerjasama kerajaan Turkiye.

“Meskipun, bantuan kemanusian kali ini tidak dapat disalurkan kepada rakyat Gaza, baginda berharap usaha dilakukan oleh GSF akan terus membuka mata dunia dan menyedarkan semua pihak mengenai penindasan dan kekejaman sebenar dilakukan rejim Zionis Israel ke atas rakyat Gaza,” menurut hantaran itu.

Sebagai rujukan dan pedoman kepada rakyat Malaysia, Sultan Sharafuddin mencadangkan agar 23 aktivis terlibat menulis dan menggabungkan pengalaman perjalanan mereka dalam sebuah buku, khususnya pengalaman ketika dalam tahanan rejim Zionis.

Semalam, penerbangan Emirates EK342 yang membawa 27 sukarelawan Malaysia termasuk empat dari kapal pemerhati dan lima peguam mendarat pada 10.07 malam Selasa di KLIA Terminal 1.

Kesemua 23 sukarelawan itu terdiri daripada penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).

Selain itu, Razali Awang menaiki kapal Inana; Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad Abdullah (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).

Pada 2 Okt lepas, 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah di Laut Mediterranean sebelum dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.

Kesemua mereka dilapor dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada 6.45 petang waktu Malaysia pada Sabtu, sebelum tiba di Istanbul pada 8.40 malam waktu Malaysia.  

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan