KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata sebanyak 3,141 premis berdaftar di seluruh negara menawarkan Menu Rahmah bagi meringkan beban kos sara hidup rakyat, setakat ini.
Sehubungan itu, beliau berharap inisiatif di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang dilancarkan pada Januari 2023 di bawah agenda Payung Rahmah itu terus mendapat sokongan semua pihak.
“KPDN percaya dengan adanya sokongan daripada pengusaha restoran di seluruh Malaysia, Menu Rahmah akan kekal sebagai pilihan terbaik rakyat untuk mendapatkan makanan sihat, seimbang dan berpatutan,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-21 Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim (PRESMA) di sini hari ini.
Fuziah turut memuji komitmen tinggi yang ditunjukkan PRESMA dalam menyokong inisiatif kerajaan itu dengan menjadi rakan industri menerusi surat hasrat (LOI) bagi menyediakan Menu Rahmah untuk rakyat.
“Komitmen ini amat kami hargai kerana ia membuktikan bahawa pengusaha restoran bukan sahaja memikirkan keuntungan tetapi juga mempunyai jiwa prihatin terhadap kebajikan rakyat,” katanya.
Mengulas mengenai cabaran dihadapi PRESMA termasuk berkaitan kekurangan tenaga kerja, Fuziah menasihati persatuan yang mempunyai lebih 3,000 ahli berdaftar dengan hampir 10,000 restoran itu supaya memohon kuota penggantian pekerja asing mengikut kes atau case by case basis yang diperkenalkan kerajaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial