AM > BERITA

Sejuta Kilogram Barang Kitar Semula Dikumpul Melalui PerKISS

09/10/2025 04:49 PM

ALOR SETAR, 9 Okt (Bernama) -- Sebanyak satu juta kilogram (kg) barangan kitar semula, berjaya dikumpul menerusi Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PerKISS) 2025, yang dianjurkan bermula 1 Sept 2024 hingga 31 Julai.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Kedah Nordin Amat berkata program itu, berjaya melibatkan penyertaan 214 sekolah iaitu 125 sekolah rendah dan 89 sekolah menengah.

“Pencapaian ini, hasil kerjasama erat semua pihak khususnya para guru dan warga sekolah yang sentiasa mendukung usaha untuk membudayakan amalan 3R, iaitu mengurangkan pembuangan sisa, guna semula dan kitar semula demi kelestarian alam sekitar.

“Kejayaan ini jelas membuktikan sekolah-sekolah di negeri ini mampu menjadi pemangkin dalam menjayakan usaha kelestarian negara. Kutipan hampir satu juta kilogram barangan kitar semula itu tidak mungkin tercapai tanpa sokongan semua pihak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nordin berkata kejayaan berkenaan, wajar menjadi contoh kepada negeri-negeri lain bahawa budaya kebersihan dan kitar semula, boleh diperkukuh melalui pendidikan di peringkat sekolah.

Nordin berkata bagi kategori sekolah rendah, johan diraih Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Nyak Gam, diikuti SK Mergong dan SK Kampung Baru, manakala bagi kategori sekolah menengah dimenangi Kolej Sultan Abdul Halim, diikuti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Michael dan SMK Agama Baling.

Majlis Penyampaian Hadiah PerKISS 2025 peringkat negeri, telah dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, bagi mengiktiraf dan meraikan komitmen sekolah-sekolah yang gigih melaksanakan kesedaran 3R.

Dalam pada itu, Nordin berkata selain PerKISS, SWCorp Kedah turut giat melaksanakan pelbagai program kesedaran, termasuk 154 program 3R sepanjang Jan hingga Okt 2025.

“Antara yang paling memberi impak ialah program Trash to Cash, yang berjaya mengumpul lebih 2.3 juta kilogram barangan kitar semula bernilai RM1.6 juta di seluruh Kedah. Program Jom Jual Minyak Masak Terpakai pula melibatkan 42 buah sekolah dengan kutipan hampir 50 tan minyak masak terpakai, setakat tahun ini.

“Usaha ini bukan sahaja memberi kesedaran tentang kitar semula, malah turut menyokong inisiatif ekonomi kitaran yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan