AM > BERITA

Rakan Niaga Grab Di Melaka Catat Pendapatan Lebih RM135 Juta Pada 2024

10/10/2025 01:41 PM

MELAKA, 10 Okt (Bernama) -- Rakan peniaga Grab di Melaka mencatat pendapatan melebihi RM135 juta sepanjang 2024, hasil penggunaan teknologi digital yang semakin meluas dalam kalangan peniaga tempatan bagi memperkukuh daya saing serta merancakkan ekonomi negeri.

Pengarah Komersil dan Penghantaran Grab Malaysia Tan Jiong Jian berkata pencapaian itu membuktikan bahawa teknologi dan inovasi mampu memperkasakan komuniti, memperkukuh sektor gastropelancongan, serta meningkatkan daya tahan ekonomi di negeri bersejarah itu.

“Di Grab, misi kami ialah memperkasakan perniagaan tempatan dengan menyediakan alatan, pengetahuan dan akses kewangan yang diperlukan untuk terus berkembang maju dalam ekonomi digital masa kini. Kejayaan rakan peniaga kami di Melaka membuktikan bagaimana teknologi boleh membuka peluang sebenar dengan meningkatkan pendapatan dan memperluas capaian pengguna bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Sementara itu, dalam usaha menyokong pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), Grab baru-baru ini memperkenalkan Merchant AI Assistant, satu ciri inovatif berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang diintegrasikan dalam aplikasi GrabMerchant.

Alat yang dikuasakan AI itu membantu pemilik perniagaan mengurus operasi dengan lebih cekap melalui akses pantas kepada data prestasi, penjanaan laporan dan saranan tersuai untuk meningkatkan jualan serta penglibatan pelanggan, di samping turut memperkemas tugasan harian seperti membalas ulasan pelanggan dan mengoptimumkan promosi, sekali gus membolehkan peniaga menumpukan perhatian terhadap pengembangan perniagaan mereka.

Inisiatif lain dalam memperkukuh usaha berkenaan ialah menerusi Grab Dine Out Discovery dan sesi latihan GrabMasterclass yang memberikan bimbingan praktikal kepada peniaga dalam memperluas pasaran serta meningkatkan pendapatan jangka panjang.

Tan berkata bagi memperkukuh sokongan terhadap peniaga kecil, Grab melalui anak syarikatnya GXBank memperkenalkan GX Biz Banking, iaitu penyelesaian kewangan digital yang memudahkan urusan perniagaan serta mempercepat pertumbuhan operasi.

"Perkhidmatan itu merangkumi dua produk utama, iaitu GX Biz Account, akaun yang boleh dibuka tanpa sebarang yuran dalam tempoh beberapa minit dan menawarkan pulangan faedah harian satu peratus setahun serta GX Biz FlexiLoan yang menyediakan akses pantas kepada modal tanpa caj tersembunyi dan penjimatan faedah melalui pembayaran balik awal. 

"Gabungan kepantasan, ketelusan dan penjimatan kos ini menjadikan GX Biz Banking sebagai alat penting bagi membantu peniaga kecil mengembangkan perniagaan dengan lebih cekap dan mampan," katanya.

Beliau berkata antara peniaga yang berjaya memanfaatkan ekosistem digital Grab ialah Ted Coffee, sebuah kafe kejiranan di Taman Paya Rumput yang dimiliki Marlina Mahmud. 

Menurut Marlina, pelbagai kempen promosi dan latihan anjuran Grab membantu kafenya memperluas capaian serta menggandakan jualan bulanan seperti melalui HotDeals dan Kombo Jimat. 

“Kami berjaya menarik pelanggan baharu serta membina kumpulan pelanggan setia. Platform digital seperti Grab amat membantu perniagaan kecil berkembang dengan lebih mampan,” katanya.

Bagi pemilik Nasi Ayam Kampung Padang, Rahilah Mohd Fauzi, penyertaan dalam platform Grab sejak 2023 membolehkan jualan perniagaannya meningkat 150 peratus dalam tempoh enam bulan, melonjak daripada RM6,000 kepada RM15,000 sebulan, sekali gus mendapat penarafan 4.8 bintang dan menjadi peniaga Grab Signature. 

“Sejak permulaan perniagaan kami sebagai gerai jalanan hingga menjadi pilihan utama di kawasan kejiranan, fokus kami kekal sama, iaitu makanan enak, harga berpatutan dan perkhidmatan pantas. GrabFood membantu kami menjangkau lebih ramai pelanggan, manakala kempen HotDeals meningkatkan keterlihatan perniagaan dan menarik pelanggan baharu,” katanya.

Selain memperkasakan peniaga tempatan, Tan berkata Grab turut memainkan peranan dalam mempromosikan Melaka sebagai destinasi budaya dan kulinari utama negara.

Menurutnya, melalui kerjasama dengan Tourism Malaysia, platform terbabit membantu menghubungkan pengunjung dengan pengalaman makanan autentik tempatan, iaitu daripada gerai jalanan hingga restoran warisan, sekali gus menyokong pembangunan sektor gastropelancongan negeri.

“Melaka bukan sahaja pusat perniagaan yang rancak, tetapi juga kaya dengan warisan budaya dan kulinari.

“Grab berhasrat menjadikan pengalaman ini lebih mudah diakses oleh penduduk serta pengunjung dan kami berbangga menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai destinasi yang mesti dikunjungi," katanya. 

Tan berkata pihak Grab akan terus komited memperkasakan peniaga kecil, mempertingkatkan kesejahteraan komuniti serta menyokong pertumbuhan ekonomi inklusif di Melaka seiring dengan transformasi digital negeri Melaka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan