AM > BERITA

Belanjawan 2026: Belia Mahir Mahu RM650 Juta PTPK Fokus Pinjaman Latihan Kemahiran

10/10/2025 10:01 PM

PUTRAJAYA, 10 Okt (Bernama) -- Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir) mencadangkan agar peruntukan RM650 juta  kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dalam Belanjawan 2026 difokuskan sepenuhnya kepada pinjaman latihan kemahiran dan tidak dikongsi dengan program berbentuk geran.

Presidennya Mohamad Rizan Hassan berkata dana berkenaan perlu digunakan mengikut mandat asal PTPK, iaitu membantu golongan belia B40, M40 serta lepasan sekolah yang tidak berpeluang menyertai institusi latihan kemahiran awam, bagi menampung kos latihan di institusi swasta yang diiktiraf.

"Pendekatan ini penting kerana ia akan memberi akses lebih meluas kepada belia yang sebelum ini terpinggir daripada sistem geran latihan, sekali gus memastikan tiada kumpulan muda tercicir daripada peluang meningkatkan kemahiran dan pendapatan. 

"Ia juga dapat merapatkan jurang antara institusi awam dan swasta serta mewujudkan ekosistem TVET yang lebih inklusif dan adil," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Rizan turut menegaskan keperluan penyelarasan, pemantauan berasaskan hasil serta ketelusan bagi memastikan dana berkenaan mencapai matlamatnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata RM650 juta untuk PTPK bukan sekadar peruntukan kewangan, tetapi amanah besar untuk membina masa depan tenaga kerja mahir dalam kalangan belia negara.

“Jika dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, ia mampu menjadi simbol kebangkitan kelas pekerja berkemahiran yang menggerakkan transformasi ekonomi negara,” katanya.

Beliau turut menyambut baik peningkatan peruntukan keseluruhan kepada RM7.9 bilion dalam Belanjawan 2026, yang disifatkan mampu memacu sektor strategik seperti automotif elektrik (EV) dan kecerdasan buatan (AI), sekali gus memenuhi keperluan tenaga kerja industri masa hadapan.

"Peningkatan dana ini bukan sekadar angka baharu dalam Belanjawan, tetapi satu isyarat jelas bahawa kerajaan serius memperkukuh pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi selaras dengan Dasar TVET Negara 2030, Pelan Induk Perindustrian 2030 dan Pelan Hala Tuhu Peralihan Tenaga Negara, termasuk Rancangan Malaysia Ke-13," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen mengumumkan peruntukan bagi TVET ditingkatkan kepada RM7.9 bilion, berbanding RM7.5 bilion pada tahun ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ia bertujuan melatih lebih ramai bakat tempatan untuk memenuhi permintaan industri berpertumbuhan tinggi serta menyokong sektor keutamaan negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan