LABUAN,12 Okt (Bernama) -- Seramai 100 sukarelawan daripada komuniti Labuan dan institusi pendidikan berganding bahu memelihara serta memulihara ekosistem paya bakau pulau ini menerusi program Discover Kinabenuwa: Heart of Mangrove, semalam.
Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu dianjurkan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dengan kerjasama Perbadanan Labuan dan Yayasan Sukarelawan Siswa.
Program berkenaan menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Antarabangsa Labuan serta penduduk setempat bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan memelihara ekosistem Taman Ekologi Bakau Kinabenuwa.
Menurut kenyataan JWP hari ini, sebanyak 200 anak pokok bakau spesies Rhizophora Apiculata ( Bakau Minyak) dan Rhizophora Mucronata (Bakau Kurap) ditanam di kawasan berkenaan bagi mengukuhkan benteng semula jadi pantai daripada hakisan ombak selain menyemai rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam kalangan peserta.
Dengan keluasan 374.21 hektar, Kinabenuwa merupakan kawasan bakau terbesar di Labuan dan menjadi habitat kepada 47 spesies tumbuhan merangkumi 23 famili, termasuk beberapa spesies terancam seperti Intsia bijuga (Merbau Ipil), Sonneratia x hainanensis (Gedabu Hibrid) and Sonneratia ovata (Gedabu).
Kawasan itu turut menempatkan spesies endemik Borneo, Osbornia octodonta (Gelam Laut), sekali gus menambah nilai saintifik kepada lokasi tersebut.
Selain aktiviti penanaman pokok, para sukarelawan turut menjalankan kerja-kerja pembersihan sisa terapung bagi memelihara habitat semula jadi flora dan fauna.
Perairan Kinabenuwa kaya dengan plankton yang menyokong populasi ikan, manakala habitat bakaunya menjadi perlindungan kepada mamalia, reptilia, krustasia, moluska dan sekurang-kurangnya 12 spesies burung, termasuk spesies hampir terancam Oriental Darter (Anhinga melanogaster).
Diwartakan sebagai Hutan Simpan pada 11 Julai 2023, Kinabenuwa kemudian diiktiraf sebagai hab ekopelancongan pada 5 Mac 2024, sekali gus mengukuhkan komitmen Labuan terhadap pelancongan hijau dan lestari.
Kawasan itu turut dikenali sebagai lokasi pembiakan kunang-kunang di sepanjang Sungai Kinta Benuwa, menjadikan nilai ekopelancongannya lebih signifikan.
Program Discover Kinabenuwa: Heart of Mangrove menyokong aspirasi Labuan untuk muncul sebagai Wilayah Persekutuan Hijau dan Lestari, yang menyeimbangkan pembangunan fizikal serta pelancongan dengan pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan komuniti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial