AM > BERITA

Pusat Operasi Bencana Diaktif Awal Hadapi Monsun Timur Laut -TPM Ahmad Zahid

13/10/2025 03:34 PM

KUANTAN, 13 Okt (Bernama) -- Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di semua peringkat akan diaktifkan lebih awal bagi memastikan pemantauan dan koordinasi berjalan lancar menjelang ketibaan Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 yang dijangka bermula awal November ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan MTL kali ini akan berterusan sehingga penghujung Mac 2026 serta dipengaruhi fenomena La Nina lemah.

“Keadaan ini dijangka membawa antara lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan, melebihi purata biasa lima episod setiap musim,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) Bilangan 2/2025 hari ini, yang turut dihadiri setiausaha kerajaan negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), selain pelbagai agensi berkaitan.

Beliau berkata Sabah dijangka mengalami hujan melebihi paras purata dari November ini hingga Februari 2026, manakala kemuncak hujan dijangka pada Disember tahun ini melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

Risiko banjir besar meningkat jika hujan berterusan berlaku serentak dengan fenomena air pasang besar, katanya, sambil menambah bahawa MetMalaysia akan mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Waspada, Buruk, Bahaya) sekurang-kurangnya tiga hari lebih awal bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Dari aspek mitigasi, Ahmad Zahid berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengesahkan terdapat pengurangan ketara lokasi panas banjir daripada 4,619 lokasi tahun lepas kepada 3,683 lokasi tahun ini.

“Perkembangan ini menunjukkan hasil positif daripada pelaksanaan projek mitigasi kerajaan, namun komitmen kerajaan negeri masih diperlukan bagi memastikan usaha pencegahan banjir dapat dilaksanakan secara berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, mesyuarat turut bersetuju untuk membina Pusat Pemindahan Bencana Kekal (PPBK) di Jerantut, Pahang sebagai sebahagian strategi jangka panjang kerajaan memperkukuh kesiapsiagaan bencana di peringkat komuniti.

“Projek ini dijangka dimulakan pada 2026 dengan kerjasama kerajaan negeri dan agensi teknikal berkaitan,” katanya. 

Selain itu, beliau berkata sejumlah 34 lokasi cerun kritikal berisiko tinggi kini dipasang dengan Sistem Amaran Awal (EWS) bencana geologi tanah runtuh.

“Saya telah memberi mandat kepada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sebagai penyelaras pemantauan cerun berisiko di seluruh negara, dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan pihak swasta,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan