AM > BERITA

Kes Rogol Di Sekolah: Suspek Tidak Terlepas Hukuman, Telah Dibuang Sekolah

13/10/2025 03:28 PM

PUTRAJAYA, 13 Okt (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan kebenaran diberikan kepada suspek kes salah laku seksual di sebuah sekolah di Melaka untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tidak bermakna mereka akan terlepas daripada hukuman.

Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad berkata Lembaga Tatatertib Sekolah memutuskan kesemua empat suspek dibuang sekolah serta-merta dan tidak akan menduduki SPM di sekolah asal mereka.

“Suspek yang terlibat tidak akan mengambil SPM di sekolah. Sebaliknya mereka akan berada  (menduduki peperiksaan) di tempat yang ditetapkan, sama ada di pusat tahanan atau di tempat yang berasingan daripada pusat di sekolah mereka,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Mohd Azam berkata kes berkenaan sedang disiasat pihak polis dan KPM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada proses siasatan.

“KPM berjanji akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada proses siasatan yang sedang berjalan. Kita inginkan keadilan dapat ditegakkan dan sesiapa saja yang bersalah, KPM bertegas mereka perlu dihukum,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang  pelajar perempuan dirogol secara bergilir-gilir di sebuah sekolah di Alor Gajah pada 2 Okt lepas dalam sebuah kelas di sekolah tersebut dan perbuatan itu dirakam mengguna telefon bimbit oleh dua daripada suspek.

Insiden tersebut terbongkar selepas ibu mangsa menerima maklumat mengenai penyebaran video tersebut daripada guru sekolah, sebelum membuat laporan polis.

Empat pelajar lelaki yang bakal menduduki SPM direman enam hari hari ini, selepas disyaki melakukan perbuatan tersebut.

Susulan kejadian tersebut, Mohd Azam berkata KPM akan mengeluarkan garis panduan keselamatan sekolah yang komprehensif pada Disember ini, selepas menerima dapatan daripada beberapa jawatankuasa khas yang kini sedang menjalankan audit keselamatan.

“Menteri akan mengumumkan garis panduan yang kita tambah baik, yang kita murnikan lagi mengikut kesesuaian dan perubahan zaman,” katanya.

Beliau berkata cadangan untuk mewajibkan sekolah premis sekolah dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) juga dipertimbangkan, dalam perangkaan garis panduan tersebut.

“Kita akan lihat nanti daripada pemantauan jawatankuasa khas keselamatan itu, antara usaha kita untuk dapatkan peruntukan untuk CCTV,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan