AM > BERITA

Belanjawan 2026 Cermin Komitmen Malaysia Majukan Ekonomi Digital – Kaspersky

13/10/2025 06:06 PM

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2026 mencerminkan keazaman Malaysia untuk memajukan ekonomi digital menerusi pelaburan strategik dalam kecerdasan buatan (AI) dan infrastruktur digital, kata Ketua Hal Ehwal Kerajaan dan Dasar Awam Kaspersky bagi Asia Pasifik, Heng Lee.

Beliau berkata antara pelaburan strategik yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lepas ialah Geran Pemecut Digital Malaysia, peluasan penggunaan MyDigital ID, dan projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI.

"Inisiatif ini akan memperkukuh asas digital negara dengan mewujudkan impak dari atas ke bawah dan menjadi pemangkin kepada kesediaan bakat untuk masa depan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Heng berkata ketika Malaysia terus mendalamkan keupayaan dan ketersambungan digital, keperluan untuk daya tahan siber merentasi setiap ekosistem menjadi semakin kritikal.

"Penyelidikan ancaman kami menunjukkan bahawa serangan siber tidak mengira sempadan. Pada 2024 sahaja, Malaysia berdepan dengan 27.9 juta ancaman web. Memperkukuh pertahanan siber di seluruh sektor amat penting, dengan tumpuan khusus pada perusahaan kecil dan sederhana yang berhubung setiap hari," katanya.

Dengan melindungi kerajaan, sektor kritikal dan perniagaan, beliau berkata Malaysia dapat membina imuniti siber yang diperlukan untuk mengekalkan pertumbuhan digital buat semua.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan