PUTRAJAYA, 13 Okt (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) memberi penekanan terhadap aspek pembinaan karakter serta nilai manusiawi sebagai teras utama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2026-2035.
Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad berkata pelan pendidikan yang sedang dirangka itu selaras dengan teguran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keperluan memperkukuh nilai dan akhlak dalam kalangan pelajar.
Beliau berkata konsep pendidikan manusiawi akan memberi penekanan kepada prinsip karamah insaniah atau pengiktirafan terhadap maruah insan sebagai asas dalam sistem pendidikan negara.
“Disebutkan dengan tegas oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek tentang karamah insaniah, iaitu pendidikan untuk mengangkat martabat manusia yang mempunyai nilai seperti adab, akhlak dan integriti,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri menegaskan bahawa sistem pendidikan negara yang diwarisi sejak sekian lama mempunyai ‘kecacatan’ kerana terlalu menekankan aspek ilmu pengetahuan tanpa disertakan prinsip, etika dan nilai moral dalam diri pelajar.
Anwar turut menyatakan harapan agar wujud tekad bersama antara institusi pendidikan, ibu bapa dan masyarakat untuk memperbaiki kelemahan itu demi membentuk generasi yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berakhlak.
Mohd Azam berkata teguran tersebut diterima secara positif dan dijadikan motivasi untuk melaksanakan reformasi terhadap sistem pendidikan negara.
Pelan Pembangunan Pendidikan 2026-2036 untuk tempoh 10 tahun itu dirangka bagi menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang akan tamat pada tahun ini.
Sebelum ini, Fadhlina memaklumkan bahawa pelan baharu berkenaan akan memberi fokus kepada pelbagai pembaharuan bagi meningkatkan kualiti, kebolehcapaian dan kerelevanan pendidikan untuk pelajar di seluruh negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial