AM > BERITA

Pengambilan Tanah Kampung Sungai Baru: Fakta Berdasarkan Dokumen Rasmi Kerajaan - Zaliha

13/10/2025 06:47 PM

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata segala fakta yang dikemukakan di Dewan Rakyat mengenai pengambilan tanah Kampung Sungai Baru adalah bersandarkan dokumen rasmi kerajaan. 

Beliau berkata dakwaan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa kononnya beliau telah berbohong kepada Parlimen, melakukan fitnah dan memesongkan fakta dalam Sesi Penerangan Menteri pada Khamis lepas adalah satu fitnah yang serius.

Zaliha berkata tuduhan yang dilemparkan adalah satu fitnah yang serius dan mencalar reputasi beliau sebagai seorang Menteri malah adalah percubaan untuk merendahkan integriti Parlimen itu sendiri.

“Sekiranya beliau mendakwa saya memesongkan fakta maka beliaulah yang wajar tampil dan mengemukakan bukti sebaliknya.

"Integriti Dewan Rakyat tidak boleh dipermainkan dengan tuduhan yang tidak bersandarkan asas,” katanya menerusi kenyataan di Facebook

Beliau berkata fokus Kerajaan MADANI ketika ini ialah memastikan penduduk yang telah bersetuju kembali semula ke Kampung Sungai Baru dengan segera dan memperoleh hak sewajarnya.

Annuar sebelum ini memberi notis menuntut penjelasan Zaliha mengenai jawapannya di Parlimen, yang mendakwa pengambilan tanah Kampung Sungai Baru telah dilakukan secara tergesa-gesa membabitkan tempoh tiga hari pada 2021.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan