AM > BERITA

Program Motivasi Rumah Tangga: Pasangan Suami Isteri Didakwa Langgar Akta Kaunselor 1998

14/10/2025 04:00 PM

SHAH ALAM, 14 Okt (Bernama) -- Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melanggar Akta Kaunselor 1998 berkaitan penganjuran sebuah program motivasi rumah tangga di Shah Alam, tahun lepas.

Shazifh Osman, 38, dan Munira Hishamshah, 37, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin serta Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman. 

Berdasarkan pertuduhan, pasangan suami isteri itu yang juga doktor klinik kecantikan didakwa telah menjalankan suatu kesalahan di bawah amalan sebagai kaunselor yang berdaftar di sebuah pusat konvensyen di Seksyen 15 di sini antara 27 hingga 30 Sept tahun lepas.

 Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 22(1)(a) Akta Kaunselor 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM30,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin menawarkan jaminan masing-masing sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, pasport diserah kepada mahkamah dan perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran. 

Peguam Alhirzan Mahamad Akhir, yang mewakili pasangan itu, memohon jumlah jaminan yang rendah atas alasan anak guamnya hanya mampu menyediakan RM3,000 kerana perniagaan klinik mereka merudum dan Munira menanggung ibunya yang menghidap kanser payudara. 

Mahkamah menetapkan jaminan masing-masing sebanyak RM7,000 terhadap Shazifh dan RM5,000 terhadap Munira dengan seorang penjamin selain menyerahkan pasport untuk simpanan mahkamah. 

Sebutan kes bagi kedua-dua tertuduh ditetapkan pada 24 Nov ini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan