AM > BERITA

AmanahRaya Lancar Pelan Pewarisan Bertakaful Bersama Takaful IKHLAS

14/10/2025 04:38 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) melancarkan pelan Pewarisan Bertakaful, hasil kerjasama strategik dengan Takaful Ikhlas Family Berhad (Takaful IKHLAS) bagi memperkasa perancangan pewarisan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, Takaful IKHLAS memaklumkan bahawa pelan berkenaan menggabungkan kepakaran kedua-dua institusi dalam bidang pemegang amanah dan perlindungan takaful, dengan manfaat perlindungan pembiayaan fi pentadbiran pusaka sehingga RM54,000.

Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya Berhad Ahmad Feizal Sulaiman Khan berkata kerjasama dengan Takaful IKHLAS dimeterai kerana kepakaran mereka dalam menyediakan perlindungan kewangan patuh Syariah di Malaysia.

“Adalah diharapkan pelan ini dapat menggalakkan lebih ramai masyarakat di Malaysia memulakan perancangan pewarisan mereka," katanya.

Beliau berkata selama lebih satu abad, AmanahRaya kekal komited dalam membantu individu merancang harta bagi memastikan warisan mereka terpelihara dari generasi ke generasi, namun hakikatnya, kekangan kewangan sering menjadi cabaran yang menghalang waris menyempurnakan proses pentadbiran pusaka.

“Menyedari perkara ini, kami memperkenalkan Pewarisan Bertakaful sebagai langkah proaktif untuk membantu mengatasi cabaran tersebut, selain memastikan proses pentadbiran pusaka boleh dilaksanakan dengan lebih lancar dan efisien,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Family Berhad Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi dipetik menyifatkan bahawa kerjasama strategik bersama AmanahRaya ini selaras halatuju Takaful IKHLAS dalam memperluaskan akses serta meningkatkan jangkauan perlindungan takaful.

“Ia juga mencerminkan komitmen syarikat terhadap pelaksanaan inisiatif Pengantaraan Berasaskan Nilai untuk Takaful (VBIT) bagi manfaat masyarakat di Malaysia,” katanya.

“Melalui pelan Pewarisan Bertakaful ini, peserta dapat menikmati kepakaran perkhidmatan daripada AmanahRaya serta manfaat takaful berkelompok yang ditawarkan oleh Takaful IKHLAS.

“Dengan sumbangan mampu milik bermula daripada RM10 sebulan, peserta bukan sahaja dapat melindungi diri mereka dan waris daripada beban kewangan berkaitan kos Pengurusan Pewarisan, malah turut menerima manfaat pampasan kematian biasa dan kematian akibat kemalangan,” katanya.

Pelan Pewarisan Bertakaful boleh dilanggan secara dalam talian atau di mana-mana cawangan AmanahRaya di seluruh negara tanpa perlu menjalani pemeriksaan kesihatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan