KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Pejabat Ahli Parlimen Damansara bersedia membantu keluarga pelajar perempuan yang maut ditikam dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, dekat sini pagi tadi.
Ahli Parlimen Gobind Singh Deo yang juga Menteri Digital dalam kenyataan hari ini memaklumkan Pejabat Ahli Parlimen telah diarahkan untuk segera menghubungi dan memberikan sokongan kepada keluarga mangsa dalam saat sukar ini.
“Ruang harus diberikan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan. Pada masa sama, pejabat saya di Damansara bersedia untuk membantu ahli keluarga mangsa. Pasukan saya telah diarahkan untuk menghubungi dan memberi sokongan kepada mereka dalam saat sukar ini,” katanya.
Gobind turut menyifatkan insiden itu sebagai amat mengejutkan dan menyayat hati, serta menegaskan bahawa tiada tempat untuk keganasan di sekolah.
“Insiden tragik ini telah meruntun hati dan mengejutkan seluruh negara. Sekolah sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk pembelajaran, perkembangan diri, dan persahabatan.
“Bagi pihak Kementerian Digital dan pasukan saya di Damansara, saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga remaja perempuan yang telah kehilangan nyawa dalam kejadian yang begitu menyayat hati ini,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi tadi, seorang pelajar perempuan tingkatan empat maut disyaki ditikam seorang pelajar lelaki dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di sini.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Ismail berkata mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian yang berlaku di dalam kawasan sekolah manakala suspek berumur 14 tahun yang merupakan pelajar sekolah sama telah berjaya ditahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial