AM > BERITA

Media Rakan Strategik SPR Pastikan Maklumat Pilihan Raya Tepat - Nik Aminudin

14/10/2025 07:31 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Media memainkan peranan penting sebagai rakan strategik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan maklumat berkaitan proses pilihan raya disampaikan secara tepat dan tidak mengelirukan masyarakat.

Ketua Program Pengurusan Latihan, Akademi Pilihan Raya Nik Aminudin Nik Shahar Shah berkata laporan kurang tepat boleh memberi kesan terhadap persepsi awam terhadap SPR, justeru kefahaman yang betul amat penting dalam setiap liputan berkaitan pilihan raya.

“Kita menyampaikan apa yang sepatutnya media tahu tetapi kita mengakui sebelum ini ada laporan yang boleh mengelirukan orang awam.

“Contohnya, sebelum ini ada laporan mengatakan undi pos dibuka kepada semua yang tidak dapat balik mengundi sedangkan ia hanya dibuka pada kategori tertentu sahaja yang layak,” katanya.

Beliau ditemui media selepas menyampaikan taklimat Kursus Liputan Politik dan Pilihan Raya: Teknik, Etika dan Analisis Media, anjuran Akademi Pilihan Raya dan Pusat Kecemerlangan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Wisma Bernama hari ini.

Nik Aminudin berkata sesi libat urus seumpama itu penting bagi memperkukuh hubungan kerja antara SPR dan media dalam meningkatkan kefahaman terhadap istilah serta prosedur rasmi pilihan raya.

Beliau menjelaskan antara kekeliruan yang sering timbul setiap kali pilihan raya ialah penggunaan istilah “Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah”, sedangkan istilah rasmi digunakan oleh SPR ialah “Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah”.

Nik Aminudin turut memaklumkan bahawa tidak ramai masyarakat mengetahui bahawa daftar pemilih yang digunakan dalam sesuatu pilihan raya adalah berdasarkan tempoh diwartakan oleh SPR, dan pengundi baharu selepas tempoh itu hanya akan layak mengundi pada pilihan raya berikutnya.

“Contohnya jika SPR memaklumkan akan menggunakan Daftar Pemilih Tambahan (DPT) hingga Mei, maka mereka yang mendaftar pada Jun walaupun sudah cukup umur tidak layak mengundi dalam pilihan raya berkenaan. Perkara ini yang sering menjadi punca kekeliruan awam,” katanya.

Beliau turut menjelaskan kekeliruan berkaitan larangan membawa telefon bimbit ke pusat mengundi, yang menurutnya adalah dibenarkan namun tidak boleh digunakan semasa berada dalam saluran mengundi.

“Ia bukan larangan mutlak. Pengundi boleh bawa telefon, tetapi apabila tiba di tempat menanda kertas undi, mereka akan diminta meletakkannya di tempat yang disediakan bagi menjamin kerahsiaan undi.

“Larangan penggunaan telefon itu juga terpakai kepada semua individu dalam saluran mengundi termasuk ejen dan petugas pilihan raya, kecuali Ketua Tempat Mengundi kerana kita tidak mahu ada rakaman atau gambar yang boleh menjejaskan kerahsiaan undi,” katanya.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan