BACHOK, 14 Okt (Bernama) -- Tiga pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Ahmad Maher, Kota Bharu berjaya mencipta produk inovatif dinamakan ‘Colorguard’, yang menggunakan ekstrak kubis ungu bagi mengesan pewarna tiruan dalam makanan dan minuman.
Ketua kumpulan Muhammad Ameer Jamaludin berkata produk itu terhasil daripada kajian yang mendapati kubis ungu mengandungi antosianin, iaitu bahan semula jadi yang bertindak balas terhadap tahap keasidan dan bahan kimia dalam makanan mengandungi pewarna tiruan.
Beliau berkata produk berkenaan yang dihasilkan bersama dua rakannya, Syed Adheem Syed Khairudin dan Muhammad Aiman Hakim Najeli bukan sahaja membantu pengguna mengesan bahan pewarna tidak selamat, malah menyokong amalan pemakanan sihat dan penggunaan bahan semula jadi.
“Kubis ungu juga murah serta mudah didapati di pasaran. Kaedah penyediaannya ringkas, hanya perlu merebus kubis ungu selama kira-kira 15 minit sebelum menapis air rebusan untuk dijadikan bahan pengesan.
“Sebaik bahan pengesan tersedia, pengguna hanya perlu meletakkan sedikit sampel makanan atau minuman di atas kapas dan menitiskan larutan kubis ungu. Jika berlaku perubahan warna dalam tempoh 30 hingga 40 saat, ia menunjukkan makanan atau minuman berkenaan mengandungi pewarna sintetik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempersembahkan hasil inovasi berkenaan pada Festival Idea 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok di sini hari ini.
Produk ‘Colorguard’ itu turut mencipta kejayaan apabila merangkul pingat emas bagi Anugerah Kluster Terbaik (Sains) kategori sekolah menengah yang disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.
Muhammad Ameer berkata produk ini mula dibangunkan kira-kira dua minggu lepas dengan idea mengenainya tercetus selepas sedar kesan negatif pewarna sintetik berlebihan kepada kesihatan kanak-kanak.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk menambah baik produk inovasi itu pada masa akan datang bagi mengoptimumkan penggunaan kubis ungu sebagai bahan pengesan pewarna sintetik dengan bimbingan berterusan daripada Guru Pembimbing, Mohd Zaidi Mat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial