AM > BERITA

Pengusaha Chalet, Resort Diarah Siar Video Bahaya Aktiviti Laut Musim Tengkujuh

15/10/2025 11:17 AM

KUALA TERENGGANU, 15 Okt (Bernama) -- Semua pengusaha chalet dan resort di tepi pantai serta pulau di Terengganu disaran menyiarkan klip video mengenai bahaya aktiviti di laut ketika musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu Datuk Razali Idris berkata ia bagi meningkatkan kesedaran dan aspek keselamatan dalam kalangan pengunjung.

"Semua pengusaha chalet dan resort sudah dimaklumkan supaya menyiarkan video-video pendek mengenai bahaya aktiviti mandi-manda di laut ketika musim tengkujuh.

"Video itu dah ada. Alhamdulillah kita sifar korban tahun lepas … tidak ada kematian. Jadi kita harap pengusaha betul-betul mengambil langkah keselamatan dan begitu juga pengunjung," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Razali berkata kerajaan negeri tidak mengeluarkan arahan rasmi mengenai penutupan pulau pada musim tengkujuh.

Terdapat beberapa chalet dan resort besar di Pulau Redang dan Pulau Perhentian yang masih beroperasi pada musim berkenaan atas permintaan pelancong.

"Walaupun musim tengkujuh atau MTL di Terengganu bermula pada November hingga Februari atau Mac, namun ia bukan berterusan sepanjang bulan. Dalam sebulan ada tiga atau empat kali bot boleh masuk.

"Jadi terpulang kepada pengusaha untuk tentukan, tetapi kita sudah beri amaran kalau ombak besar tidak boleh belayar. Aspek keselamatan seperti pemakaian jaket keselamatan sangat penting dan diwajibkan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan