GEORGE TOWN, 15 Okt (Bernama) -- Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) meraih Anugerah Air Malaysia bagi Kategori Pengurusan 2025 daripada Persatuan Air Malaysia (MWA) sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan cemerlang dalam pengurusan bekalan air.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk K. Pathmanathan, berkata pencalonan bagi anugerah itu dibuat berdasarkan beberapa faktor, termasuk Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bekalan air 2024 yang melebihi purata kebangsaan serta enam sistem pengurusan akreditasi ISO merangkumi kualiti, alam sekitar, keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH), keselamatan maklumat, ujian air dan ujian meter air.
Beliau berkata, pencapaian itu turut disokong oleh pelaksanaan inisiatif perkongsian maklumat awam berasaskan data dan pelaporan ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus), Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030) bernilai RM2.1 bilion yang melibatkan lapan projek utama infrastruktur air serta penerokaan tiga sumber air mentah sekunder di Seberang Perai.
“Anugerah Pengurusan MWA diberikan kepada organisasi atau individu yang menunjukkan kecemerlangan dalam pengurusan air, dan pada tahun 2025, anugerah berprestij ini sekali lagi menjadi milik Pulau Pinang buat kali keempat.
“Pengiktirafan ini membuktikan dedikasi dan komitmen pasukan PBAPP yang terdiri daripada 1,540 warga kerja. Kami amat menghargai pengiktirafan terhadap PBAPP sebagai antara operator bekalan air terbaik di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri II merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Seri Fadillah Yusof, kepada Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Pengerusi PBAPP Chow Kon Yeow, pada Majlis Makan Malam Tahunan dan Malam Anugerah MWA 2025 di Kuala Lumpur, semalam.
PBAPP membawa pulang semula trofi cabaran kristal bagi pihak Pulau Pinang, selain menerima plak anugerah dan ganjaran wang tunai RM5,000.
Syarikat pegangan tersenarai awam PBAPP, PBA Holdings Bhd, turut memenangi The Edge Centurion Club Awards 2025 bagi kategori Pertumbuhan Tertinggi dalam Keuntungan Selepas Cukai (PAT) untuk tempoh tiga tahun, serta Pulangan Tertinggi kepada Pemegang Saham dalam kategori Telekomunikasi, Media dan Utiliti bagi syarikat tersenarai awam dengan modal pasaran di bawah RM1 bilion.
MWA ialah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang mewakili industri air di Malaysia dan berperanan mempromosikan pengurusan perkhidmatan bekalan air secara mampan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial