AM > BERITA

Pelan Tranformasi PERHEBAT 2026-2035 Persiap Pesara Hadapi Pasaran Kerja

15/10/2025 07:20 PM

PETALING JAYA, 15 Okt (Bernama) -- Latihan pembangunan kerjaya anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bakal bersara akan dijalankan secara terus di industri dan bukan lagi berpusat di kem atau institusi latihan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) semata-mata.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perancangan itu akan dilaksanakan menerusi Pelan Transformasi PERHEBAT 2026-2035 yang diluncurkan hari ini.

“Pendekatan baharu ini menandakan perubahan penting dalam cara kerajaan mempersiapkan bakal pesara tentera untuk menghadapi pasaran kerja sebenar, sejajar dengan keperluan industri dan kehendak ekonomi semasa,” katanya.

Mohamed Khaled berkata demikian semasa berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Transformasi PERHEBAT 2026-2035 di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dan Panglima ATM Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.

Beliau berkata pelan transformasi itu yang berteraskan pembangunan sosioekonomi holistik akan dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu pembangunan kapasiti dan pengukuhan dasar (2026-2029), pengkomersialan dan pemerkasaan industri nilai tinggi (2030-2032) dan keunggulan serta kelestarian PERHEBAT (2033-2035).

Pelan jangka panjang 10 tahun itu digerakkan PERHEBAT dengan empat teras utama meliputi lonjakan pasaran kerjaya, pembangunan ekonomi komuniti mampan, pengembangan akses dan digitalisasi serta pemerkasaan dasar dan tadbir urus profesional.

Mohamed Khaled berkata pelan itu akan mewujudkan ekosistem baharu menghubungkan bakal veteran secara langsung dengan sektor swasta dan pasaran kerja dengan memberi tumpuan kepada latihan berasaskan kerja.

“Melalui pendekatan ini, kemahiran anggota yang diasah sepanjang perkhidmatan akan diiktiraf secara rasmi, sekurang-kurangnya pada peringkat diploma. Peranan industri ialah menyediakan peluang dan memberi latihan bersesuaian supaya mereka boleh terus diserap bekerja,” katanya.

Mohamed Khaled menegaskan transformasi itu bukan sekadar menambah baik sistem latihan, tetapi usaha menyeluruh untuk memastikan kesejahteraan dan kelangsungan hidup veteran ATM terus terjamin selepas menamatkan perkhidmatan.

Walaupun terdapat lebih 189,000 veteran ATM telah menamatkan perkhidmatan, beliau berkata hanya sekitar 17.4 peratus daripada mereka bekerja manakala sebahagian besar menjalankan perniagaan kecil atau tidak bekerja.

“Ini bukan gambaran yang kita mahu untuk wira negara. Mereka telah berkorban demi keamanan negara, maka kita juga perlu pastikan masa depan mereka terjamin dan bermaruah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru pemain industri melihat pelan itu sebagai peluang untuk menghargai jasa veteran dengan memberi ruang pekerjaan dan kerjaya bermakna.

“Industri lebih memahami kemahiran yang diperlukan. Ada anggota mahir membaiki, berbakat dalam kulinari, pemanduan, penyelenggaraan dan sebagainya. Mereka bukan hanya berpengalaman, tetapi juga berdisiplin dan berdaya tahan tinggi,” katanya.

Mohamed Khaled berkata pelan itu juga sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Dasar TVET Negara 2030 bagi memastikan veteran ATM terus menjadi tenaga kerja berkualiti tinggi dan penggerak ekonomi negara.

Pada majlis itu, Mohamed Khaled turut menyaksikan simbolik penyerahan dokumen kerjasama antara PERHEBAT dan 44 agensi serta syarikat swasta termasuk penyerahan surat tawaran pekerjaan kepada veteran ATM.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan