AM > BERITA

'The Asia Records' Cetus Era Baharu Pengiktirafan Cemerlang Di Asia

16/10/2025 10:44 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Armani Media Sdn Bhd hari ini melancarkan The Asia Records, platform pengiktirafan serantau yang disasar menjadi paling berprestij di Asia bagi meraikan pencapaian luar biasa individu dan organisasi.

Inisiatif diasaskan oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Armani Media Sdn Bhd Datuk KK Chua itu digerakkan untuk mengubah landskap pengiktirafan serantau dengan menonjolkan bakat serta kejayaan masyarakat Asia dalam pelbagai bidang termasuk seni, sukan, sains dan khidmat masyarakat.

Chua berkata The Asia Records direka untuk menginspirasi dan mencabar individu serta organisasi untuk mencapai kejayaan dengan merakamkan setiap pencapaian, sekali gus mempromosikan kecemerlangan dan dedikasi mereka dalam pelbagai bidang.

“Inisiatif ini tidak hanya menonjolkan bakat dan kemampuan orang Asia tetapi juga memupuk semangat persaingan sihat dan motivasi. Dengan 60 peratus daripada populasi dunia berasal dari Asia, kami menyedari potensi besar yang belum diterokai dalam rantau yang dinamik ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Penasihat The Asia Records Tunku Fauzi Tunku Abdul Malek di Glenmarie 8 Business Park, Shah Alam, Selangor.

Chua berkata setiap pencapaian penting layak untuk mendapat pengiktirafan, sekali gus menjadi pemangkin dan semangat kepada orang lain untuk mengikut jejak kejayaan insan-insan hebat ini.

Beliau turut menjangkakan The Asia Records menjadi anugerah terpenting di rantau ini, kedua selepas The Guinness World Record.

Sementara itu Tunku Fauzi dalam kenyataan sama memaklumkan banyak individu Asia berjaya di pentas dunia namun tidak direkodkan, menyebabkan pencapaian mereka kurang diketahui masyarakat.

“Dengan adanya The Asia Records, kami berusaha untuk merakamkan setiap kejayaan mereka sebagai rujukan kepada orang lain untuk mencapai kejayaan sama atau lebih daripada itu.

“Kita patut berasa bangga kerana banyak orang Asia yang berjaya pada peringkat global dan ia perlu direkodkan agar tidak hilang begitu sahaja,” katanya.

Beliau berkata pengiktirafan seperti itu penting untuk melahirkan lebih banyak insan berjaya yang mampu mengharumkan nama negara masing-masing, kerana ia bukan sahaja pencapaian peribadi tetapi turut membanggakan negara.

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang www.theasiarecords.com atau e-mel welcome@theasiarecords.com.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan