AM > BERITA

Penganut Hindu Sambut Deepavali Isnin Ini

17/10/2025 02:38 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Penganut Hindu di Malaysia dan seluruh dunia akan menyambut perayaan Deepavali, iaitu Pesta Cahaya pada Isnin ini.

Presiden Malaysia Hindudharma Maamandram, A. Radhakrishnan berkata perayaan itu yang berasal daripada perkataan Tamil Deepam (cahaya) dan Awali (deretan)  membawa makna menghapuskan kejahilan serta membersihkan rohani.  

Menurut kepercayaan Hindu, semangat Paramathma terdapat dalam cahaya, manakala cahaya yang menyala melambangkan roh atau Jeevathma, yang memberikan tenaga rohani dan aura positif.

“Seseorang perlu menyingkirkan sifat angkuh, iri hati dan ego untuk menyingkirkan kegelapan dan memperoleh sinar cahaya itulah makna sebenar Deepavali,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Radhakrishnan berkata persiapan perayaan bermula sehari sebelum Deepavali dengan upacara sembahyang, menyalakan pelita bagi menghormati nenek moyang serta membersih dan menghias rumah untuk menyambut Dewi Mahalakshmi, dewi kekayaan dan kemakmuran.

Pada sebelah pagi pula, Ganga Snanam (mandi minyak) akan dilakukan pada seawal pagi mengikut adat dan tradisi. 

“Tempoh yang dianggap terbaik dikenali sebagai Brahma Muhurtham itu, berakhir dalam masa sejam 36 minit sebelum matahari terbit pada 6.56 pagi di Kuala Lumpur. Oleh itu, Ganga Snanam sebaiknya dilakukan sebelum 5.20 pagi,” katanya.

Radhakrishnan berkata ahli keluarga akan menyapu minyak bijan di kepala sebelum mandi kerana ia dipercayai dapat memohon keberkatan Dewi Mahalakshmi dan Dewi Ganga.

“Selepas mandi, pakaian baharu, manisan dan buah-buahan akan dipersembahkan kepada Dewa Krishna. Kanak-kanak kemudian akan memohon restu daripada ibu bapa dan orang tua sebelum memakai pakaian baharu mereka,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Hindu Malaysi T. Ganesan menasihatkan waktu terbaik untuk mandi minyak dari 5.45 pagi hingga 7 pagi, mengikut waktu tempatan kerana ia dianggap masa yang sangat baik dan penuh berkat.

Beliau turut menyeru mereka yang meraikan perayaan ini untuk menjauhi minuman keras, perjudian atau menyalakan mercun yang terlalu bising.

“Deepavali seharusnya disambut dengan kegembiraan,keharmonian dan  jiwa yang bersih. Ia masa untuk memupuk kebahagiaan, keamaanan dan perpaduan dalam kalangan keluarga serta masyarakat,” katanya sambil mengucapkan selamat menyambut Deepavali kepada semua penganut Hindu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan