AM > BERITA

MTL 2025/2026: MCMC Lancar Pasukan EDRT, Tingkat Siap Siaga Sektor Komunikasi

18/10/2025 11:09 PM

PUTRAJAYA, 18 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melancarkan Pasukan Emergency and Disaster Response Team (EDRT) MCMC bagi memperkukuh kesiapsiagaan sektor komunikasi, pos dan kurier dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan pasukan berkenaan ditauliahkan sebagai sebahagian daripada Civil Defence Auxiliary (CDA) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Kuantan, Pahang hari ini.

"Majlis peluncuran kesiapsiagaan yang disempurnakan oleh Pengarah Urusan MCMC Abdul Karim Fakir Ali turut menghimpunkan pelbagai agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana," menurut kenyataan itu.

MCMC memaklumkan bagi menghadapi MTL, satu rangka kerja pengurusan bencana yang merangkumi tiga fasa utama telah dibangunkan.

Fasa pertama, iaitu kesiapsiagaan sebelum bencana melibatkan aktiviti penilaian risiko menara komunikasi, pengenalpastian kawasan berisiko, serta penyediaan aset dan bekalan kuasa.

Fasa kedua pula ialah respons semasa bencana yang meliputi pengaktifan pelan pengurusan bagi menjamin kesinambungan liputan komunikasi, manakala fasa ketiga ialah semakan prosedur operasi standard bagi menambah baik proses pascabencana.

"Rangka kerja ini telah diedarkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri pada 13 Okt lepas untuk tujuan pelaksanaan kesiapsiagaan," menurut kenyataan itu.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan MTL 2025/2026 akan bermula pada awal November ini dan berterusan hingga Mac 2026, dengan jangkaan lima hingga tujuh episod hujan lebat berlaku sepanjang tempoh itu.

MCMC akan memastikan rangkaian komunikasi kritikal lebih berdaya tahan dengan gangguan minimum melalui kerjasama dengan agensi berkaitan dan pemain industri.

Berdasarkan data MCMC, sebanyak 597 stesen pemancar terjejas sepanjang MTL lepas, dengan 54.1 peratus daripadanya di Wilayah Timur. 

Selain itu, sebanyak 147 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) turut terkesan, melibatkan Kelantan, Terengganu, Sarawak, Sabah dan beberapa negeri lain.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan