AM > BERITA

Elak Pertindihan Program, Pastikan Inisiatif Sampai Kepada Rakyat - Ahmad Zahid

21/10/2025 08:22 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Agensi-agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) perlu memastikan tiada pertindihan dalam pelaksanaan program yang dirancang supaya inisiatif dapat disampaikan tepat kepada kumpulan sasar. 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata baki masa yang ada pada tahun ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya supaya setiap program yang dirancang berjalan lancar serta memberikan impak terbaik kepada masyarakat.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata beliau memberi peringatan berkenaan ketika mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi KKDW di bangunan Parlimen hari ini, yang bertujuan memastikan hala tuju kementerian terus selari dengan matlamat dan aspirasi yang telah digariskan.

"Dengan hanya tinggal beberapa bulan sebelum memasuki tahun baharu, tumpuan utama mesyuarat adalah untuk menyemak semula perancangan serta penyelarasan program yang sedang dan akan dilaksanakan oleh semua agensi kementerian,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid juga menyatakan keyakinan dengan sinergi dan kerjasama yang kukuh di peringkat kementerian dan agensi pelaksana, KKDW akan terus melangkah ke hadapan sebagai sebuah kementerian yang berfokus, cekap dan relevan dalam memperkasakan agenda pembangunan desa, sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan