IPOH, 22 Okt (Bernama) -- Kawasan pendakian Gunung Liang dalam daerah Perak Selatan ditutup kepada orang awam berkuat kuasa serta-merta sehingga suatu tarikh dimaklumkan kelak.
Jabatan Perhutanan Perak menerusi hantaran di Facebook memaklumkan arahan penutupan dikeluarkan Pengarah Perhutanan negeri Datuk Mohd Basri Abdul Manaf.
“Bagaimanapun, arahan penutupan dikecualikan bagi penganjuran program jabatan seperti Program Konservasi Trek Pendakian dalam Hutan Simpanan Kekal seperti mana yang telah ditetapkan.
”Berpandukan Seksyen 47, Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985, ketidakpatuhan arahan ini boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekiranya disabitkan kesalahan,” menurut hantaran itu.
Pada 16 Okt, pendaki Mustaqqeem Mansoor, 34, ditemukan meninggal dunia pada 3.30 petang di puncak Gunung Liang Barat dekat Tanjong Malim selepas bersama-sama 10 rakan memulakan pendakian pada 10 Okt dari Bukit Fraser, Pahang dan kali terakhir dilihat pada 14 Okt.
Jenazah dibawa keluar dari puncak gunung berketinggian 1,933 meter menggunakan helikopter AW189 oleh Pasukan Khas Udara Bomba pada 2.45 petang 17 Okt dan bedah siasat mengesahkan punca kematian disebabkan hipotermia.
Setakat 19 Okt, polis telah memanggil lapan individu terdiri daripada peserta dan rakan pendaki mangsa untuk membantu siasatan berhubung insiden itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial