AM > BERITA

Pasaran Kurier Negara Dijangka Capai RM6.9 Bilion Tahun Ini - Fahmi

22/10/2025 01:28 PM

SHAH ALAM, 22 Okt (Bernama) -- Pasaran kurier Malaysia dijangka mencapai sekitar RM6.8 hingga RM6.9 bilion tahun ini, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata pertumbuhan tersebut antara lainnya didorong lonjakan permintaan daripada sektor e-dagang seperti pembukaan fasiliti SPX Express (SPX) Sorting Centre. 

"Berdasarkan maklumat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), jelas menunjukkan dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, peningkatan jumlah bungkusan dengan mendadak.

“Ini membuktikan bahawa usaha kerajaan untuk memperkukuh ekosistem e-dagang dan juga prasarana serta infrastruktur digital dengan kelajuan Internet yang telah mencapai 5G dan kini 5G Advanced,” katanya ketika berucap merasmikan pembukaan Bukit Raja Selatan (BRS) Sorting Centre SPX Express (SPX) di sini hari ini.  

Fahmi berkata pembukaan BRS Sorting Centre menjana lebih 1,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang antaranya kejuruteraan, digital dan pembangunan kecerdasan buatan (AI).

“Selain peluang kerja untuk penyusunan (bungkusan), dalam pasukan juga perlu ada jurutera bagi memastikan semua kelengkapan perkakasan dan peralatan dapat berfungsi dengan baik,” katanya.

Pada masa sama, Fahmi berharap SPX Express dapat mewujudkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi meningkatkan kemahiran pekerja mereka.

“Dengan perubahan teknologi, wujud peluang untuk kita meningkatkan kemahiran. Saya harap di SPX Express (untuk) wujud satu program TVET, yang memberi peluang kepada pekerja untuk meningkatkan kemahiran,” katanya.

Selain itu, beliau menyarankan industri kurier menjalin kerjasama lebih erat dengan institusi pengajian tinggi terutamanya dalam bidang kejuruteraan yang berkaitan dengan keperluan industri. 

BRS Sorting Centre SPX yang berkeluasan lebih 30,000 meter persegi, merupakan sebahagian daripada pelaburan bernilai RM63.2 juta (US$15 juta) syarikat itu dalam Automated Sorting Machine (ASM) canggih bagi meningkatkan kecekapan operasi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan